Seorang bekas askar British yang dikatakan pernah
bertugas di Afghanistan telah dibunuh dengan menggunakan senjata tajam oleh
seorang berbangsa Afrika yang dikatakan beragama Islam dengan videonya
disiarkan di internet [1]. Ahli-ahli politik Britain cepat menyatakan perisitwa
tersebut sebagai keganasan. Sehinggakan Presiden Indonesia, Susilo Bambang
Yudhyono, cepat menghantarkan perutusan takziah kepada Perdana Menteri British
David Cameron ke atas peristiwa tersebut.
Ada beberapa fakta yang perlu diperhatikan oleh umat
Islam keseluruhannya:
a). Media massa adalah bersifat Islamophobia, atau mencetuskan ketakutan dan kebencian terhadap Islam
dan umat Islam. Apabila askar veteran British dibunuh, maka segala macam
serangan ditujukan kepada umat Islam dan Islam oleh musuh musuh Islam, dan
pelakunya yang dikatakan seorang muslim adalah pengganas. Tetapi apabila
Andreas Brevik yang bukan merupakan orang Islam, yang membunuh secara rambang lebih
daripada 70 orang awam di Norway pada tahun 2011, tidak dicap sebagai
pengganas. Di sini label pengganas adalah ditujukan kepada orang Islam yang
melakukan pembunuhan dan segala macam jenayah yang lain. Apabila seorang muslim
bernama Muhammed Saleem Chaudhry, berumur 75 tahun, dibunuh dengan serangan
senjata tajam di Birmingham di Britain beberapa bulan lepas, peristiwa tersebut
tidak dilabel sebagai keganasan dan pelakunya tidak dilabel sebagai pengganas
[2].
b). Umat Islam selalu dipaksa untuk meminta maaf (apologetic) dan bersifat defensif di
dalam peristiwa seumpama ini. Musuh-musuh Islam mahukan umat Islam mengambil
posisi yang demikian apabila terdapat peristiwa seperti ini. Seolah-olah polisi
luar Britain tidak ada kena-mengena dengan peristiwa tersebut. Britain adalah
suatu negara imperialis pada masa lepas dan juga sekarang. Askar-askar British
melakukan pembunuhan massa (genocide)
dan jenayah perang terhadap umat Islam di Irak dan juga di Afghanistan sejak
perang dan pencerobohan di kedua-dua negara pada tahun-tahun 2003 dan 2001.
Beratus-ratus dan beribu-ribu umat Islam dibunuh oleh askar British semasa
penjajahan di Irak dan juga di Afghanistan. Semasa zaman kolonial British,
askar-askar British bertanggungjawab di dalam pembunuhan massa (genocide) masyarakat Cina di Batang Kali
di Selangor pada tahun 1948, yang dituduh berpihak kepada pengganas komunis
semasa pemberontakan komunis di Tanah Melayu sebelum merdeka. Britain adalah
sebuah negara yang memainkan peranan penting di dalam kemusnahan Khilafah
Uthmaniyyah pada tahun 1924, dan penubuhan entiti haram Yahudi (Israel) di
Palestin pada 1948. Britain masih lagi menjajah Ireland Utara dan melakukan
pembunuhan rambang terhadap penduduk mazhab Katolik di Ireland Utara di dalam
peristiwa Sunday Bloody Sunday pada
tahun 1972. Sebagai tindakbalas terhadap penjajahan British ke atas Ireland
Utara, pertubuhan ketenteraan Irish Republican Army (IRA) ditubuhkan untuk
menamatkan penjajahan British dan memberikan kemerdekaan untuk Ireland Utara
daripada penjajahan British. Tentera IRA dicap sebagai pertubuhan pangganas
oleh kerajaan Britain. Penduduk Ireland Utara dan IRA adalah kebanyakannya
bermazhab Roman Katolik, tetapi mereka tidak dicapkan sebagai pengganas Katolik
(Catholic terrorists), tetapi apabila
terdapat orang Islam yang melakukan jenayah, maka umat Islam dicapkan sebagai
pengganas muslim (muslim terrorists).
Jadi siapakah yang akan meminta maaf (apologetic)
ke atas kesemua jenayah perang oleh askar British di dalam penjajahan dan
pembunuhan massa (genocide) oleh
tentera British di Irak, Afghanistan, Ireland Utara dan juga di Tanah Melayu?
Seorang
bekas askar veteran di Afghanistan iaitu Joe Glenton, yang menulis di dalam
akhbar British iaitu Guardian yang bertajuk “Woolwich attack: of course
British foreign policy had a role", yang
menyalahkan polisi luar negara Britain keatas peristiwa pembunuhan tersebut
[3]. Beliau mengatakan bahawa: “Tidak
ada apa-apa yang boleh menjustifikasikan pembunuhan seorang bekas askar Britain
di Woolwich, bukanlah payah untuk memberikan penjelasan terhadap sebab-sebab
pembunuhan tersebut…ianya menjadi jelas bahawa dengan menyerang umat Islam di
luar negara, adalah sebenarnya menyebarkan kebencian (terhadap kita) di dalam
negara. Kita mesti sedar bahawa kerajaan British terlibat dengan Amerika
Syarikat di dalam penjajahan di Timur Tengah, kita sepatutnya berterimakasih
bahawa peristiwa pembunuhan ini adalah jauh lebih kecil daripada yang
sepatutnya.
c). Kita mesti
memberikan kesedaran kepada umat Islam dan bukan Islam bahawa Islam bukanlah
musuh kepada masyarakat Britain amnya. Beribu-ribu rakyat Britain memeluk Islam
setiap tahun dan angka tersebut bertambah setiap tahun. Musuh kepada masyarakat
British adalah ahli politik British yang telah dipilih sendiri oleh masyarakat
Britain melalui sistem pilihanraya demokrasi yang merangka polisi luar negara
Britain yang menjajah dan membunuh beribu-ribu umat Islam dan bukan Islam di
negara umat Islam seperti Irak dan Afghanistan, dan juga di Ireland Utara. Britain
sebahagian daripada Kesatuan Eropah (EU) turut mengalami krisis ekonomi, yang
menyaksikan beban kehidupan rakyat seperti pengangguran, kos kehidupan
meningkat setiap tahun, tetapi sebaliknya kerajaan Britain mampu membelanjakan
berjuta-juta pound setiap tahun di dalam meneruskan penjajahan mereka di tanah
umat Islam, tanpa mengira kesan tersebut terhadap kehidupan masyarakat sendiri
di dalam negara sendiri. Umat Islam tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa
selagi mereka beramal maaruf dan menghalang kemungkaran dengan berdakwah kepada
yang Haqq dan menghalang kebathilan, kerana sesungguhnya Haqq tersebut akan
memusnahkan segala kebathilan. Pihak yang memperjuangkan kebathilan sama ada mereka
sedar atau tidak, adalah pihak yang sepatutnya meminta maaf ke atas perjuangan sesat
mereka itu.
“Bahkan Kami sentiasa
mengarahkan yang Haqq menentang yang Bathil, lalu ia menghancurkannya, maka
dengan serta-merta hilang lenyaplah dia.” [Tafsiran makna Quran oleh Tafsir
Rahman, al-Anbiyaa, ayat 18]
Wa Allahu A’lam.
Rujukan (diakses 24 May 2013):