Monday, March 11, 2013

Inflasi adalah parah di dalam sistem Kapitalis



Inflasi adalah parah di dalam sistem Kapitalis


Lapuran daripada Lloyds TSM Private Banking mengatakan bahawa harga sebuku roti telah bertambah daripada 37 pence kepada 1.24 pound British (GBP), manakala harga 100 g kopi telah naik 176% daripada 0.97 GBP kepada GBP 2.68. Dan harga rumah telah menyaksikan kenaikan yang paling besar iaitu sebanyak enam kali ganda , sementara harga emas satu Troy ounce menyaksikan kenaikan sebanyak 439%, kesemuanya berlaku pada jangka masa 30 tahun, dari 1982 sehingga sekarang. Ini bermakna bahawa di dalam jangkamasa selama 30 tahun, GBP telah mengalami penurunan sebanyak dua pertiga, atau bermakna sekarang GBP mempunyai hanya 33% kuasa membeli jika dibandingkan dengan 30 tahun dahulu. Llyods TSB juga menjangkakan bahawa GBP 100 masa sekarang akan mempunyai nilai yang sama seperti GBP 229 dalam masa 30 tahun yang akan datang [1].

Sandaran kepada emas telah ditamatkan pada tahun 1971 apabila berakhirnya perjanjian Bretton Woods pada tahun 1971. Dari tahun 1945 sehingga 1971, 1 Troy ounce emas (bersamaan dengan 31.1 gram emas) boleh ditukarkan dengan US dollar (USD) 35, dan USD adalah bersandarkan kepada emas pada masa itu, sebelum 1971. Pada tahun 1971, US telah memansuhkan sandaran USD kepada emas maka USD telah menjadi fiat currency atau matawang yang tidak disandarkan kepada emas. Dan selepas 1971, banyak di kalangan matawang negara-negara lain di dunia telah menjadi floating currency (matawang yang tidak disandarkan kepada USD dan juga emas), atau matawang yang nilainya bergantung kepada turun-naik harga jual-beli di Foreign Exchange market (Forex) atau pasaran matawang. Ada juga matawang beberapa negara yang kadarnya diikat oleh USD, tetapi bukan kepada emas. Ini telah menjadikan matawang terutamanya floating currency yang nilainya bergantung kepada jual-beli di Forex terdedah kepada serangan oleh penyangak matawang (currency speculators), sebagaimana yang berlaku kepada negara-negara Asia Tenggara dan juga Timur Jauh seperti Korea dan Jepun. Ini menyebabkan Malaysia telah mengikat kadar Ringgit menjadi 3.80 kepada 1 USD untuk mengurangkan penurunan nilai Ringgit di pasaran antarabangsa. Juga Argentina yang mengalami krisis matawang pada tahun 1999-2002, telah berbuat langkah yang sama, mengikat matawang peso menjadi tetap untuk mengurangkan penurunan nilai matawang tersebut.

Ahli ekonomi, walaupun tidak kesemuanya, masing-masing bersetuju bahawa kadar inflasi termasuk inflasi tegar (hyperinflation) adalah disebabkan oleh kadar pertambahan matawang untuk mengimbangi kadar pertambahan ekonomi. Apabila kadar permintaan terhadap sesuatu barangan bertambah, maka harga barangan tersebut juga bertambah. Jadi bank pusat akan mencetak lebih banyak matawang untuk mengimbangi kenaikan harga, dan bank pusat boleh berbuat demikian sekiranya matawang tidak bersandarkan emas. Tetapi dengan berbuat demikian, maka setiap unit matawang yang dicetak akan mengalami kekurangan nilai, atau kuasa membeli setiap matawang akan berkurangan, yakni setiap unit matawang boleh membeli quantiti barangan yang semakin kurang. Jadi inflasi juga bermakna kadar pertambahan matawang yang lebih besar jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan ekonomi. Secara kasarnya, ahli ekonomi merujuk inflasi sebagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, walaupun ianya juga dikenali sebagai penurunan nilai matawang. Sekiranya matawang negara adalah bersandarkan kepada emas, walaupun terdapat kenaikan permintaan terhadap barangan, bank pusat tidak boleh mencetak tambahan matawang, sebab pertambahan matawang tersebut akan menjadikan sebahagian daripada jumlah matawang adalah tidak bersandarkan kepada emas. Bank pusat hanya boleh mencetak tambahan matawang sekiranya bank pusat telah mendapat tambahan di dalam stok simpanan emas, dan jumlah setiap unit matawang yang dicetak mestilah sama nilainya dengan jumlah emas yang baru di dalam stok simpanan bank pusat.

Permintan terhadap barangan bertambah → kenaikan harga barangan → Bank pusat mencetak matawang lebih → Inflasi bertambah → krisis ekonomi, kadar pengganguran tinggi, revolusi.

Maka ini adalah kesan domino inflasi

Emas adalah suatu logam yang jumlahnya adalah tetap di mukabumi, dan bukan seperti mawatang kertas yang boleh dicetak sewenang-wenangnya oleh bank pusat. Emas baru tidak boleh diciptakan oleh ahli sains daripada bahan lain seperti besi, tembaga dan lain-lain. Sekiranya permintaan terhadap sesuatu barangan bertambah, maka ia juga akan menyebabkan permintaan terhadap emas juga bertambah. Atau dengan lain perkataan satu unit emas akan mempunyai nilai bertambah daripada dulunya, dan satu unit emas akan mempunyai kuasa membeli yang bertambah dari dulunya. Itulah sebabnya harga rumah boleh naik enam kali ganda, tetapi harga emas juga naik 440% [1]. Walaupun banyak kekayaan telah dijanakan sekarang berbanding dengan 30 tahun lepas, tetapi kos kehidupan masih bertambah dan kuasa membeli wang kertas menjadi semakin kurang.

Menurut Lawrence H. White, seorang Profesor Sejarah Ekonomi, sistem ekonomi yang bersandarkan kepada emas jarang-jarang mengalami inflasi melebihi 2% setahun [2].

Dan Peter Bernholz [3], berkata bahawa kadar inflasi yang sangat besar telah berlaku pada kurun ke-20, di negara-negara di mana sandaran kepada wang logam (emas) telah ditamatkan.

Di dalam Daulah Islamiyyah, sistem matawang adalah bersandarkan kepada dinar dan dirham (emas dan perak), di mana 1 dinar adalah bersamaan dengan 4.25 gram emas, dan 1 dirham adalah bersamaan dengan 2.975 gram perak.

Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda akan tiba satu zaman dimana tiada apa yang tinggal dan boleh digunakan oleh umat manusia maka simpanlah dinar dan dirham (yakni emas dan perak). Musnad Imam Ahmad ibn Hanbal

Wa Allahu A’lam.

Rujukan:


[3] Bernholz, Peter. Monetary Regimes and Inflation. Cheltenham, U.K.: Edward Elgar, 2003.