Monday, November 3, 2014

Di antara peribumi dan pendatang

Di dalam suatu persidangan itu telah diadakan di Pusat Konvensyen Setia City di Setia Alam dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 19 Oktober, 2014, seorang perwakilan parti Gerakan dari Johor, Tan Lai Soon berkata bukan sahaja orang Cina dan India sahaja pendatang, tetapi orang Melayu juga adalah pendatang kerana mereka berhijrah dari Indonesia, dan yang merupakan penduduk asal Malaysia adalah penduduk asal Sabah dan Sarawak dan orang Asli di Malaysia [portal web Malaysian Insider, 24 Oktober 2014]. Kenyataan yang dikeluarkan oleh wakil parti Gerakan tersebut merupakan tindakbalas terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden ISMA sebelum ini, iaitu kaum Cina dan India adalah merupakan pendatang ke tanah Melayu, dan berikutan dengan kedua-dua kenyataan tersebut, berpuluh-puluh lapuran telah diadukan kepada pihak polis dengan alasan ianya merupakan kenyataan yang menghasut dan mesti disiasat di bawah akta hasutan dan sedang menunggu perbicaraan [portal web ISMA, http://www.ismaweb.net, 13 Oktober 2014].

Setengah-setengah golongan memberikan takrifan terhadap istilah pendatang. Pendatang bolehlah dianggap sebagai orang-orang yang merantau, mengembara, berpindah dan juga pelarian ke suatu tempat lain daripada tempat asalnya, lalu hidup di situ sebagai rakyat biasa. Ataupun dalam istilah bahasa Arab, adalah orang-orang yang bermusafir sehingga singgah ke suatu tempat untuk bermukim. Sumber daripada Jabatan Imigresen Malaysia (portal web Jabatan Imigresen Malaysia) menyatakan salah satu kategori pendatang sebagai orang-orang yang bukan merupakan warganegara Malaysia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah yang masuk dan tinggal di dalam negara ini. Tetapi ini merupakan definisi pendatang di negara ini selepas tahun 1957. 

Masalah yang muncul adalah penduduk setempat merasakan tempat itu miliknya dan tidak boleh jadi milik orang pendatang. Masalah ini muncul disebabkan oleh assabiyyah (nasionalisma, fanatik kepada bangsa atau kaum) dan wataniyyah (fanatik kepada kenegaraan) yang ada pada manusia. Hukum Islam berkenaan dengan bermusafir sebagai pendatang (migrant) dan bila ianya bermukim di situ akan dianggap sebagai penduduk setempat dan bukan lagi pendatang. Kalau seseorang bermusafir sekalipun dia haruslah dilayan sebagai musafir, bukan sebagai rakyat kelas bawahan yang disisih oleh masyarakat.

Rasulullah (SAW) dan para sahabatnya yang berhijrah dari Makkah ke Madinah sebagai muhajiriin yang kemudiannya menetap di Madinah, tepat 1436 tahun dahulu. Dan penghijrahan Rasulullah (SAW) ke Madinah telah diterima oleh penduduk asal Madinah yang digelar Ansar, yang memberikan ba’ya kepada Rasulullah (SAW) untuk mendirkan Daulah Islamiyyah pertama. Maka kalau diikut istilah zaman jahiliyyah moden ini, golongan Muhajiriin dikenali sebagai pendatang dan Ansar pula dikatakan sebagai bumiputra atau peribumi. Juga sebelum hijrah Rasulullah (SAW) ke Madinah, terdapat beberapa kabilah kaum Yahudi yang telah menduduki Madinah lama sebelum hijrah Rasulullah (SAW) seperti Bani Quraidhah, Qainuqa’, dan Nadhir, dan apabila Daulah Islam yang pertama didirikan di Madinah pda 623 Masehi, kaum Yahudi tersebut tidak dikenali sebagai penduduk peribumi (atau bumiputra) Madinah, tetapi dikenali sebagai kafir dhimmi apabila mereka bersetuju hidup di bawah hukum Islam dan membayar jizyah. Juga apabila umat Islam dan kaum Yahudi diperintah keluar (melalui Alhambra decree atau undang-undang Alhambra) daripada wilayah Andalusia (semenanjung Iberia, terdiri dari Sepanyol dan Portugal) melalui perisitiwa Reconquista (reconquest, atau penjajahan semula) yang tamat pada 1492, umat Islam dan kaum Yahudi telah berhijrah ke Daulah Islamiyyah Uthmaniyyah semasa Beyazid II (1481–1512) menjadi Khalifah, disekitar Istanbul di Turki sekarang ini, dan umat Islam dari Andalusia tidak diberikan gelaran pendatang tetapi sebagai umat Islam, manakala kaum Yahudi juga tidak diberikan gelaran pendatang, tetapi masih sebagai kafir dhimmi yang membayar jizyah dan hidup diadili dengan hukum Islam.

Di dalam Daulah Islamiyyah, hanya ada umat Islam dan kafir dhimmi, yang membayar jizyah dan bersetuju untuk diadili dengan hukum Islam. Tidak ada perbezaan di antara orang Islam yang berlainan bangsa, misalnya seseorang muslim dari China walaupun tidak boleh berbahasa Arab, sekiranya dia berhijrah ke tanah Palestin, maka beliau ada hak yang sama dengan dengan penduduk muslim tempatan di Palestin, dan tidak dianggap sebagai pendatang. Wilayah Palestin juga bukan milik orang Arab, dan wilayah Nusantara bukan milik Melayu, tetapi adalah milik umat Islam keseluruhannya. Di dalam Daulah Islam, tidak ada istilah penduduk peribumi (bumiputra) dan kaum pendatang, yang hanya ada adalah umat Islam dan kafir dhimmi.Pembahagian yang inilah yang menyebabkan Salahuddin Ayyubi, yang berbangsa Kurdish melancarkan perang keatas penjajah tentera salib yang menduduki Baitul Muqaddis untuk merebut semula tanah umat Islam yang terjajah, sebab ianya merupakan tanah umat Islam dan juga sebagai tanah suci, dan bukan menuntut sebuah negara Kurdish didirikan atas dasar nasionalisma Kurdish, sebagaimana wujud pada zaman sekarang ini.

Pembahagian wilayah yang berdasarkan kepada kepunyaan sesuatu bangsa atau kaum adalah amalan jahiliyyah yang telah dihapuskan oleh kedatangan Islam. Tetapi malangnya, sebelum kejatuhan Daulah Islam Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masehi, semangat assabiyyah telah ditiupkan semula oleh penjajah kolonialis yang bertujuan untuk memecah-belahkan umat Islam sebelum meruntuhkan Daulah Islam Uthmaniyyah. Akibatnya orang-orang Arab di wilayah Arab telah memberontak melawan dan memisahkan diri daripada Daulah Islam Uthmaniyyah dan menubuhkan negara-negara Arab kecil dan lemah seperti yang wujud sehingga ke hari ini di atas dasar nasionalism Arab. Malah lebih buruk dari itu, negara-negara Arab di rantau Teluk Parsi dipecahkan atas dasar kekeluargaan seperti keturunan Bani Hashim (negara Jordan, Hashimite Kingdom of Jordan), keturunan Ibnu Saud (Saudi Arabia) selepas runtuhnya Daulah Islamiyyah Uthmaniyyah. Dan juga sebuah negara Turki telah didirikan daripada runtuhan Daulah Uthmaniyyah yang didasarkan kepada assabiyyah bangsa Turk (Turkish nationalism). Juga masalah yang sama terjadi apabila suatu negara Pakistan didirikan selepas tahun 1947 daripada benua kecil India. Selepas tahun 1947, Pakistan terdiri daripada terdapat dua wilayah yang digelar Pakistan Barat dan Pakistan Timur. Penduduk di wilayah Barat kebanyakannya bertutur di dalam bahasa Urdhu sementara di wilayah Timur di dalam bahasa Bengal, dan semangat nasionalism menjadi sangat kuat apabila pada tahun 1971, dengan bantuan India, wilayah Timur memisahkan diri mereka daripada wilayah Barat, dan mendirikan negara Bangladesh, (The roots of nationalism in the muslim world – Shabir Ahmed, 1996, ISBN 1 899534 10 5).

Beberapa kenyataan daripada golongan tertentu yang menyatakan bahawa bumi Malaysia, dan wilayah Nusantara (Malay archipelago) adalah alam Melayu, tetapi sekiranya seorang penduduk berbangsa dan berbahasa Melayu daripada Sumatera atau Jawa, apabila berhijrah ke Malaysia (Tanah Melayu) kenapa masih dianggap sebagai pendatang tanpa izin! Meskipun mempunyai akidah yang sama, umat Islam daripada berlainan negara yang berhijrah ke negara diberikan layanan yang berlainan dengan penduduk setempat. Malah orang kafir yang menjadi warga negara ini mendapat layan yang begitu baik jika dibandingkan dengan layanan yang diberikan kepada pelarian umat Islam Rohingya daripada Myanmar ataupun Uighur daripada Turkestan Timur (Xinjiang) dari China, dan juga pekerja-pekerja kontrak dari Sumatera dan Jawa. Berpuluh puluh ribu pelarian kaum Rohingya masih hidup di kem-kem tahanan dan diberikan dokumen pelarian oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN) sebagai dokumen pengenalan di negara ini dan di Bangladesh, walaupun mereka adalah umat Islam yang melarikan diri daripada kezaliman penguasa Buddha di Myanmar. Ini jauh berbeza sekali dengan layanan Khalifah Daulah Uthmaniyyah (Bayezid II) yang memberikan perlindungan kepada pelarian umat Islam dan Yahudi yang melarikan diri daripada kekejaman Kristian Katholik di Andalusia semasa peristiwa Reconquista pada kurun ke-15 Masehi.

Celaan kepada assabiyyah
Masalah ini berlaku apabila umat Islam di negara ini dan juga di negara lain mula menilai seseorang itu menurut asal-usulnya dan tempat kelahirannya, dan bukan dari segi akidahnya, iaitu sama ada seseorang itu muslim atau kafir. Sebenarnya masalah ini telah lama diselesaikan oleh kedatangan Rasulullah (SAW) yang memberikan celaan kepada assabiyyah, atau fanatik kepada bangsa dan kaum. Tetapi malangnya pada zaman moden ini, umat Islam yang mengaku Islam tetapi sebenarnya telah kembali kepada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam, dan jauh sekali berpegang kepada ajaran Rasulullah (SAW).

Perkataan ashabiyyah adalah perkataan Arab yang bermaksud kerabat dari arah bapa. Demikian adalah disebabkan orang-orang Arab biasanya menasabkan diri mereka di sebelah keturunan bapa mereka [Imam Ibnu Mandzur, Lisaan al-‘Arab, juz 1/602].

Kaab bin Syadh r.a berkata, “Ya Rasulullah, apakah seorang yang mencintai kaumnya (bangsanya) itu termasuk assabiyyah?” Rasulullah (SAW) menjawab: “Tidak, assabiyyah itu bilamana seorang mendukung dan memihak kepada kaumnya atas sesuatu kezaliman.” (Hadith riwayat Ahmad)

"Hai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan sebagai saksi kerana Allah sekalipun terhadap diri-dirimu sendiri, atau terhadap kedua orang tua dan kerabatmu." [TMQ, an-Nisa': 135].

"Dan jangan sampai kerana kebencianmu terhadap suatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil." [TMQ, al-Maidah: 8].

"Kamu tidak dapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhir itu menaruh cinta kepada orang yang ingkar kepada Allah dan Rasulnya sekalipun mereka yang ingkar itu ayah-ayah mereka atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka atau keluarga mereka." [TMQ, al-Mujadalah: 22].

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan ayah-ayah kamu dan saudara-saudara kamu sebagai kekasih (ketua), jika mereka itu lebih suka kufur daripada beriman." [TMQ, at-Taubah: 23].

Maka menolong atau membela kelompok atau kaumnya dalam kebathilan (assabiyyah) termasuk perbuatan haram.  Asabiyyah juga sama ertinya dengan sifat pilih kasih dan berat sebelah dalam sesuatu perkara, memberikan hak kepada orang yang tidak berhak, iaitu memihak kepada perkauman, kenegerian, kebangsaan dan kekeluargaan. Imam Abu Dawud menuturkan sebuah hadits dari Jubair bin Muth’im ra bahwasanya Nabi saw bersabda:

“Tidaklah termasuk golongan kami, siapa saja yang menyeru kepada ‘assabiyyah, dan bukanlah termasuk golongan kami, siapa saja yang berperang di atas ‘assabiyyah, dan bukan termasuk golongan kami, siapa saja yang mati di atas ‘assabiyyah”. [HR. Imam Abu Dawud].



Imam Muslim menuturkan sebuah hadis riwayat dari Abu Hurairah ra, bahwasanya Rasulullah (SAW) bersabda: Barangsiapa keluar dari ketaatan dan memecah belah Jama’ah, lalu ia mati, maka matinya (seperti) mati jahiliyyah.  Dan barangsiapa berperang di bawah panji ‘assabiyyah, marah karena ‘assabiyyah, atau menyeru kepada ‘assabiyyah, atau menolong kerabat (dalam kezaliman), kemudia ia terbunuh, maka matinya adalah mati jahiliyyah.  Dan siapa saja memerangi umatku, membunuh orang yang baik maupun orang yang buruk dari umatku, dan tidak memperhatikan orang-orang mukminnya, tidak pula memperhatikan orang yang membuat perjanjian, maka ia bukan termasuk golonganku, dan aku bukan termasuk golongannya”. [HR. Imam Muslim]



Maka daripada hadits-hadits di atas, jelaslah bahawa perjuangan assabiyyah adalah perbuatan yang haram.  Sebabnya larangan assabiyyah disertai dengan celaan dan ancaman dari Rasulullah (SAW), iaitu mati dalam keadaan jahiliyyah dan bukan termasuk golongan Rasulullah (SAW).   Ini merupakan indikasi (qarinah) yang menunjukkan bahawa larangan meninggalkan assabiyyah adalah larangan yang bersifat pasti (haram). Diantara perbuatan yang termasuk dalam tindakan assabiyyah adalah membela bangsa dan negara, hanya karena alasan kebangsaan, tanpa memandang apakah bangsanya benar atau tidak, dan juga membela keluarga dan kerabat walaupun mereka melakukan kezaliman dan kerosakan. Maka perjuangan nasionalism Arab, nasionalism Turk dan nasionalism Melayu (ketuanan Melayu) adalah perjuangan yang bathil dan haram.

Kita mengkui bahawa di dalam negara ini, golongan kafir semakin hari makin lama mencabar kesabaran dan cara hidup umat Islam dengan mencemarkan kesucian Islam. Ini bukanlah suatu yang menghairankan kerana negara yang ditadbirkan oleh hukum jahiliyyah ciptaan manusia (sekularism) yang terbit daripada amalan demokrasi sememangnya tidak akan menjadi pembela untuk umat Islam. Walau bagaimanapun menggunakan sistem warisan penjajah Inggeris (suruhanjaya Lord Reid) dan assabiyyah untuk membela Islam bukanlah caranya. Caranya adalah kembali kepada Ahkam Syariah dengan menegakkan semula Daulah Islamiyyah yang menjadi penaung dan pembela untuk umat Islam keseluruhannya.

Wallahu a’lam bish shawab.


Ya Allah, saksikan bahawa kami telah menyampaikan.