Berikutan dengan krisis
ekonomi yang melanda negara disebabkan oleh kejatuhan harga minyak mentah dan
kejatuhan nilia ringgit, syarikat petroleum negara, Petronas mengumumkan akan
memberhentikan kira-kira seribu pekerjanya di dalam menjimatkan kos, di dalam
suatu lapuran akhbar The Star pada 1 Mac 2016. Dan sebelum itu, syarikat
penerbangan negara, Malaysian Airline System (MAS) diberitakan memberhentikan
beribu-ribu pekerjanya sebagai langkah berjimat cermat. Dan juga suatu lapuran
dari Reuters mengatakan bahawa China, negara yang mempunyai ekonomi terbesar di
dunia juga telah memberhentikan seramai 1.8 juta pekerjanya di dalam sektor
perlombongan dan industri. Lapuran dari The
Sun Daily pada Julai 2015 mengatakan bahawa seramai 10,000 pekerja telah
diberhentikan dari pekerjaan masing masing sehingga Julai 2015. Juga lapuran
dari The Sun Daily pada 15 Februari
2016 mengatakan bahawa terdapat seramai 200,000 graduan mengganggur walaupun
terdapat seramai 2 juta pekerja asing di negara ini. Angka pemberhentian
pekerja di negara ini adalah jauh lebih rendah daripada angka seramai 1.5 juta
pekerja asing dari Bangladesh untuk bekerja di berbagai sektor di negara ini.
Benarkah
seluruh dunia kekurangan pekerja?
Suatu lapuran daripada
sebuah pertubuhan yang bernama Organisation
for Economic Co-operation and Development (OECD) yang disiarkan oleh
majalah Fortune pada 11 November 2015
memberikan senarai negara negara yang mempunyai purata jumlah penduduk yang
melakukan pekerjaan yang paling banyak di dunia ini, mengikut kadar bilangan
jam bekerja selama seminggu. Terdapat sebanyak 36 buah negara yang mempunyai
purata penduduk yang melakukan pekerjaan yang paling banyak di dalam bilangan
jam seminggu, dan Malaysia tidak temasuk di dalam senarai tersebut. Negara
negara Eropah yang mengalami kegawatan ekonomi dan masalah pengganguran seperti
Sepanyol, Itali dan Greece adalah termasuk di dalam senarai 36 buah negara ini.
Greece, yang mengalami masalah ekonomi dengan masalah bangkrap, adalah di
tangga no 4, dengan secara puratanya penduduknya bekerja sebanyak 39.27 jam
seminggu, atau bersamaan dengan 8 jam sehari, dari pukul 9 pagi sehingga ke 5
petang selama lima sehari seminggu. Negara Amerika Syarikat juga merupakan
negara yang mempunyai purata jumlah penduduk yang paling banyak melakukan
pekerjaan di dalam bilangan jam semingga, di tempat ke-16, dengan jumlah 34.40
jam seminggu, atau bersamaan dengan 6.88 jam sehari untuk lima hari bekerja.
Walaupun begitu, syarikat-syarikat di Amerika Syarikat juga telah
memberhentikan seramai 200,000 pekerja sejak bulan Januari 2015 yang dikaitkan
dengan harga petroleum yang rendah, menurut lapuran dari portal berita CNBC
pada 3 Mac 2016. Bulan Januari 2016 sahaja telah menyaksikan seramai 71,114
pekerja telah diberhentikan kerja masing-masing di Amerika Syarikat. Jepun juga
adalah merupakan negara yang mempunyai purata jumlah penduduk yang berkerja
lebih masa, yakni 33.25 jumlah jam seminggu, tetapi dipercayai bahawa angka
tersebut adalah lebih besar daripada yang dilapurkan secara rasmi sebab sebahagian
besar pekerja Jepun juga melakukan melakukan kerja di luar waktu pejabat. Jepun
juga mempunyai seramai 200 pekerja yang mati mengejut setiap tahun akibat
jumlah jam kerja yang berpanjangan (overworking),
dan mempunyai terma yang disebut karoshi
yang bermakna bekerja sehingga mati akibat kerja berpanjangan. Suatu kajian
daripada American Institute of Stress
menyatakan bahawa kerja berlebihan waktu boleh menjadikan seseorang mengalami
tekanan mental berlebihan, di samping terdedah kepada risiko masalah kesihatan
seperti masalah jantung.
Di samping fenomena
bekerja berlebihan masa, sebahagian besar manusia yang juga melakukan pekerjaan
berlebihan masa adalah kanak-kanak. Suatu lapuran dari Al-Jazeerah pada 2014
mengatakan bahawa terdapat buruh kanak-kanak seawal usia 7 tahun yang melakukan
pekerjaan di ladang-ladang tembakau untuk industri rokok di Amerika Syarikat.
Lapuran itu juga mengatakan bahawa buruh kanak-kanak menerima wang sebanyak US $7.25 sejam, dan ramai di antara mereka mengalami masalah
kesihatan, bekerja lebihan masa tanpa bayaran secukupnya dan di bawah panas
matahari terik tanpa pakaian uniform yang sesuai. Baru-baru
ini, Chris Albin-Lackey, penyelidik kanan di Business and Human Rights Program di Human Rights Watch mendedahkan bahawa di
negara Ghana, salah satu negara Afrika yang merupakan pengeluar logam utama,
terdapat banyak lombong yang beroperasi secara haram yang mengupah kanak-kanak
yang berumur 9 tahun untuk bekerja selama 14 jam sehari, dengan bayaran yang sangat
sedikit, iaitu US $1.5 to US $6.25 sehari. Di samping itu, kondisi pekerjaan
mereka dipenuhi oleh pencemaran bahan kimia yang merbahaya dan boleh
mengakibatkan kesan jangka-panjang. Menurut pertubuhan Organasasi Buruh Antarabangsa,
terdapat seramai 120 juta buruh kanak-kanak berumur di antara 5-14 tahun di
seluruh dunia. Inilah kesan daripada penjajahan yang masih diteruskan oleh
negara-negara Kapitalis barat, yang majoritinya merupakan negara imperialis
sehingga sekarang. Keadaan di Afrika sekarang tidak banyak berbeza,
walaupun telah “merdeka” daripada penjajah, tetapi negara-negara Kapitalis penjajah
masih mengekalkan cenkaman terhadap benua Afrika. Syarikat-syarikat
multinasional mereka yang kebanyakannya di dalam sektor petroleum, gas asli dan
galian mineral masih beroperasi dengan bebas di negara-negara Afrika dengan
mengaut untung di samping mengeksploitasikan manusia tempatan untuk bekerja
sebagai buruh dengan upahan yang sangat rendah. Maka, tidak meghairankan kenapa
setiap tahun beribu-ribu penduduk dari Afrika Barat dan Afrika Timur melakukan
penghijrahan melalui jalan darat dan merentasi Laut Mediterraenean untuk
mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah walaupun sebagai pendatang tanpa
izin, walaupun beribu-ribu mereka telah mati lemas di Laut Mediterranean.
Jadi adakah dunia
mengalami kekurangan pekerja sebagaimana kekurangan makanan dan kekayaan? Atau
adakah semuanya mencukupi tetapi ianya terkait dengan masalah sistem ekonomi
yang pincang yang menjadikan pengagihan sebagai punca berbagai masalah terkait
dengan ekonomi yang sedang berlaku.
Sistem
ekonomi Kapitalis adalah masalah pengagihan dan bukan masalah produksi
Sistem ekonomi
Kapitalis menyatakan bahawa masalah ekonomi adalah masalah produksi atau
pengeluaran, yakni manusia mestilah berusaha untuk meningkatkan pengeluaran
untuk menjamin keberlangsungan kehidupan di dunia ini. Di dalam usaha untuk
mengingkatkan produksi atau pengeluaran juga bermakna peningkatan di dalam sektor
pekerjaan disebabkan peningkatan di dalam sektor pengeluaran memerlukan juga
lebih ramai pekerja mahir dan tidak mahir.
Ahli ekonomi Kapitalis memandang
bahawa kebajikan rakyat akan terjaga apabila kekayaan negara meningkat selari
peningkatan pengeluaran, iaitu dengan meningkatnya angka Gross Domestic Product (GDP) atau Keluaran Negara Kasar. Secara teorinya, suatu negara yang mempunyai nilai
GDP yang tinggi adalah negara yang mempunyai penduduk yang terjamin segala
keperluan mereka. Dengan itu, rakyat akan dapat menikmati kekayaan tersebut
melalui pekerjaan dan cara-cara lain. Thomas Malthus seorang ahli
ekonomi kapitalis Britain pada kurun ke-18 di dalam bukunya yang bertajuk “An
essay on the principle of population” telah mengatakan bahawa pertumbuhan
populasi penduduk dunia pada suatu masa yang akan datang tidak dapat diimbangi
oleh jumlah pengeluaran makanan, iaitu akan terdapat kekurangan makanan untuk
menampung pertambahan penduduk dunia. Dalam pada itu, Eric Holtz melapurkan di
dalam Huffington Post, dengan merujuk kepada suatu kajian yang telah dibuat
oleh pakar-pakar daripada McGill University dan University of Minnesota yang
diterbitkan di dalam jurnal Nature bahawa dunia sebenarnya mempunyai
cukup makanan untuk 10 billion penduduk. Sementara itu, suatu pertubuhan amal
yang bernama Oxfam di Canada pula membuat kajian bahawa dunia telah
mengeluarkan pertambahan purata makanan sebanyak 17% setiap penduduk dunia jika
dibandingkan 30 tahun lalu, tetapi masih terdapat 1 billion penduduk yang
kekurangan makanan. Ini membuktikan bahawa teori Malthusian adalah tidak benar. Dunia menempuh perkembangan sains
dan teknologi yang begitu pesat dan telah berupaya untuk menukarkan gurun
kepada tanah pertanian sebagaimana yang berlaku di negara negara rantau Arab
Teluk, sehinggakan negara seperti Saudi Arabia yang sebahagian besarnya
merupakan tanah gurun berupaya menjadi negara pengekspot gandum, produk tenusu
dan sayur-sayuran. Manakala sebuah negara yang sangat kecil seperti Belanda (Netherlands)
di mana 17% wilayahnya adalah tanah yang ditebus-guna dari laut, walaupun
begitu berupaya menjadi pengeluar sayur-sayuran dan buah-buahan melalui
teknologi hydrophonic yang boleh
dilakukan di dalam bangunan yang tidak memerlukan tanah dan air yang banyak. Maka
dengan itu juga, pertambahan produksi dan pengeluaran barang-barangan juga
memerlukan ramai pekerja mahir dan tidak mahir, selari dengan pertambahan
pengeluaran dan kekayaan.
Masalah kekurangan
makanan adalah berkait rapat dengan masalah pengangguran dan pembuangan pekerja
di dalam sistem ekonomi kapitalis. Ahli ahli ekonomi kapitalis gagal melihat
masalah ini sebagai suatu masalah pengagihan dan bukannya masalah produksi
sepertimana yang dinyatakan oleh teori Malthus pada kurun ke-18. Kesemua
masalah di dalam sistem ekonomi kapitalis adalah berpunca daripada masalah
pengagihan, sama ada pengagihan kekayaan, makanan dan juga peluang pekerjaan.
Sistem ekonomi Kapitalis yang hanya memberikan keuntungan kepada sebahagian
kecil jumlah penduduk adalah sistem yang rosak yang tidak berupaya mengagihkan
kekayaan, makanan dan juga peluang pekerjaan dengan betul. Tetapi sebaliknya,
sistem ekonomi Sosialis/Komunis yang bertentangan dengan sistem ekonomi
Kapitalis adalah juga mempunyai kerosakan dan kepincangan tersendiri di dalam
mengagihkan keperluan kepada penduduknya secara sama rata tanpa mengira
keperluan dan keupayaan setiap individu masing-masing.
Bahawa sesungguhnya
Allah (SWT) menjamin rezeki untuk setiap makhlukNya di dunia ini, sebagaimana
firmanNya:
“…dan tidak satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan
dijamin Allah rezekinya” [TMQ, Surah Hud, ayat 6].
Negara mempunyai
kekayaan yang mencukupi untuk penduduknya. Di dalam suatu lapuran dari Utusan
Malaysia pada 1 Februari 2016 menyatakan bahawa terdapat harta berjumlah RM 60
billion harta pusaka yang tidak dituntut oleh waris si mati orang Islam sejak
tahun 1950an sehingga sekarang. Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang
mahu menuntutnya, maka hartanya akan dimasukkan ke dalam Baitul Maal untuk diagihkan
kepada yang layak untuk menerimanya.
Islam telah melarang
penimbunan segala bentuk harta, sebagaimana firmanNya:
“Dan orang-orang yang
menyimpan emas dan perak tapi tidak menginfakkannya ke jalan Allah, maka
khabarkanlah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat azab seksa yang pedih” [TMQ, surah
at-Taubah, 39].
“…supaya harta tersebut janganlah hanya beredar di antara orang-orang
kaya sahaja di antara kamu” [TMQ, surah al-Hasyr, 7].
Seseorang kaya yang
menyimpan hartanya di dalam Daulah Islam, akan disuruh untuk membelanjakan
hartanya untuk manfaat umum, seperti membuka industri atau perniagaan yang
dapat menjada pekerjaan dan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada yang
tidak mempunyai pekerjaan. Dan ini berlainan dengan sistem ekonomi Kapitalis
yang menggalakkan orang supaya menyimpan hartanya supaya menjadi harta beku di
dalam bank atau beredar di dalam pasaran saham, yang tidak memberikan manfaat
kepada sesiapapun, kecuali kepada si pemiliknya sendiri. Dan juga, di dalam
Daulah Islam, sesuatu tanah yang dimiliki oleh seseorang tetapi tidak
diusahakan selama tiga tahun, maka tanah tersebut akan diambil dan diberikan
kepada sesiapa yang boleh mengusahakannya, dan dengan ini memastikan bahawa
harta sentiasa akan beredar kepada orang yang layak menerimanya dan boleh
menerima manfaat daripadanya. Jelasnya, Islam melarang penimbunan harta yang
tidak dapat memberikan manfaat dan juga melarang harta beredar di kalangan
orang tertentu sahaja. Oleh itu, secara tidak langsung dengan membenarkan harta
terus beredar di dalam masyarakat, maka kesemua orang boleh mendapat manfaat
bersama. Di dalam Daulah Islam, sekiranya pekerja diberhentikan daripada
pekerjaan tetapi masih berupaya bekerja dan belum mendapat pekerjaan, maka
seseorang tersebut layak menerima zakat, sebagai seorang yang telah putus
perbelanjaan kehidupan akibat kehilangan sumber mata pencarian. Sekiranya
seseorang tersebut juga tidak mampu memiliki keperluan asas yang lain seperti
tempat tinggal, maka ianya layak untuk menerima bantuan daripada Daulah.
Tekanan kehidupan di
dalam negara yang melaksanakan sistem ekonomi Kapitalis yang berasaskan kepada
ekonomi liberal, riba, pinjaman bank dan percukaian sememangnya telah
membebankan kehidupan masyarakat dan tidak berupaya untuk menjamin keperluan asas
bagi setiap individu. Pekerja yang diberhentikan daripada pekerjaan, juga
mempunyai beban yang perlu ditanggung seperti sara-hidup keluarga, pinjaman
kereta dan tempat tinggal dan sebagainya. Dan pemberhentian pekerja adalah
masalah biasa di dalam sistem Kapitalis, begitu juga masalah lain seperti
bekerja lebih masa dan juga buruh kanak-kanak (child labour), memberikan suatu jurang yang sangat luas di dalam
kehidupan manusia di antara yang berada dan kurang berada. Ahli politik
Sosialis/Komunis telah berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan
melaksanakan negara Sosialis/Komunis yang menjamin ekonomi masyarakatnya,
tetapi ternyata telah gagal di dalam masa yang sangat singkat. Maka
terpulanglah kepada umat Islam untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan
mendirikan semula negara Khilafah.