Thursday, May 30, 2013

Pembunuhan askar British di Woolwich




Seorang bekas askar British yang dikatakan pernah bertugas di Afghanistan telah dibunuh dengan menggunakan senjata tajam oleh seorang berbangsa Afrika yang dikatakan beragama Islam dengan videonya disiarkan di internet [1]. Ahli-ahli politik Britain cepat menyatakan perisitwa tersebut sebagai keganasan. Sehinggakan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhyono, cepat menghantarkan perutusan takziah kepada Perdana Menteri British David Cameron ke atas peristiwa tersebut.

Ada beberapa fakta yang perlu diperhatikan oleh umat Islam keseluruhannya:

a). Media massa adalah bersifat Islamophobia, atau mencetuskan ketakutan dan kebencian terhadap Islam dan umat Islam. Apabila askar veteran British dibunuh, maka segala macam serangan ditujukan kepada umat Islam dan Islam oleh musuh musuh Islam, dan pelakunya yang dikatakan seorang muslim adalah pengganas. Tetapi apabila Andreas Brevik yang bukan merupakan orang Islam, yang membunuh secara rambang lebih daripada 70 orang awam di Norway pada tahun 2011, tidak dicap sebagai pengganas. Di sini label pengganas adalah ditujukan kepada orang Islam yang melakukan pembunuhan dan segala macam jenayah yang lain. Apabila seorang muslim bernama Muhammed Saleem Chaudhry, berumur 75 tahun, dibunuh dengan serangan senjata tajam di Birmingham di Britain beberapa bulan lepas, peristiwa tersebut tidak dilabel sebagai keganasan dan pelakunya tidak dilabel sebagai pengganas [2].

b). Umat Islam selalu dipaksa untuk meminta maaf (apologetic) dan bersifat defensif di dalam peristiwa seumpama ini. Musuh-musuh Islam mahukan umat Islam mengambil posisi yang demikian apabila terdapat peristiwa seperti ini. Seolah-olah polisi luar Britain tidak ada kena-mengena dengan peristiwa tersebut. Britain adalah suatu negara imperialis pada masa lepas dan juga sekarang. Askar-askar British melakukan pembunuhan massa (genocide) dan jenayah perang terhadap umat Islam di Irak dan juga di Afghanistan sejak perang dan pencerobohan di kedua-dua negara pada tahun-tahun 2003 dan 2001. Beratus-ratus dan beribu-ribu umat Islam dibunuh oleh askar British semasa penjajahan di Irak dan juga di Afghanistan. Semasa zaman kolonial British, askar-askar British bertanggungjawab di dalam pembunuhan massa (genocide) masyarakat Cina di Batang Kali di Selangor pada tahun 1948, yang dituduh berpihak kepada pengganas komunis semasa pemberontakan komunis di Tanah Melayu sebelum merdeka. Britain adalah sebuah negara yang memainkan peranan penting di dalam kemusnahan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924, dan penubuhan entiti haram Yahudi (Israel) di Palestin pada 1948. Britain masih lagi menjajah Ireland Utara dan melakukan pembunuhan rambang terhadap penduduk mazhab Katolik di Ireland Utara di dalam peristiwa Sunday Bloody Sunday pada tahun 1972. Sebagai tindakbalas terhadap penjajahan British ke atas Ireland Utara, pertubuhan ketenteraan Irish Republican Army (IRA) ditubuhkan untuk menamatkan penjajahan British dan memberikan kemerdekaan untuk Ireland Utara daripada penjajahan British. Tentera IRA dicap sebagai pertubuhan pangganas oleh kerajaan Britain. Penduduk Ireland Utara dan IRA adalah kebanyakannya bermazhab Roman Katolik, tetapi mereka tidak dicapkan sebagai pengganas Katolik (Catholic terrorists), tetapi apabila terdapat orang Islam yang melakukan jenayah, maka umat Islam dicapkan sebagai pengganas muslim (muslim terrorists). Jadi siapakah yang akan meminta maaf (apologetic) ke atas kesemua jenayah perang oleh askar British di dalam penjajahan dan pembunuhan massa (genocide) oleh tentera British di Irak, Afghanistan, Ireland Utara dan juga di Tanah Melayu?

Seorang bekas askar veteran di Afghanistan iaitu Joe Glenton, yang menulis di dalam akhbar British iaitu Guardian yang bertajuk “Woolwich attack: of course British foreign policy had a role", yang menyalahkan polisi luar negara Britain keatas peristiwa pembunuhan tersebut [3].  Beliau mengatakan bahawa: “Tidak ada apa-apa yang boleh menjustifikasikan pembunuhan seorang bekas askar Britain di Woolwich, bukanlah payah untuk memberikan penjelasan terhadap sebab-sebab pembunuhan tersebut…ianya menjadi jelas bahawa dengan menyerang umat Islam di luar negara, adalah sebenarnya menyebarkan kebencian (terhadap kita) di dalam negara. Kita mesti sedar bahawa kerajaan British terlibat dengan Amerika Syarikat di dalam penjajahan di Timur Tengah, kita sepatutnya berterimakasih bahawa peristiwa pembunuhan ini adalah jauh lebih kecil daripada yang sepatutnya.

c). Kita mesti memberikan kesedaran kepada umat Islam dan bukan Islam bahawa Islam bukanlah musuh kepada masyarakat Britain amnya. Beribu-ribu rakyat Britain memeluk Islam setiap tahun dan angka tersebut bertambah setiap tahun. Musuh kepada masyarakat British adalah ahli politik British yang telah dipilih sendiri oleh masyarakat Britain melalui sistem pilihanraya demokrasi yang merangka polisi luar negara Britain yang menjajah dan membunuh beribu-ribu umat Islam dan bukan Islam di negara umat Islam seperti Irak dan Afghanistan, dan juga di Ireland Utara. Britain sebahagian daripada Kesatuan Eropah (EU) turut mengalami krisis ekonomi, yang menyaksikan beban kehidupan rakyat seperti pengangguran, kos kehidupan meningkat setiap tahun, tetapi sebaliknya kerajaan Britain mampu membelanjakan berjuta-juta pound setiap tahun di dalam meneruskan penjajahan mereka di tanah umat Islam, tanpa mengira kesan tersebut terhadap kehidupan masyarakat sendiri di dalam negara sendiri. Umat Islam tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa selagi mereka beramal maaruf dan menghalang kemungkaran dengan berdakwah kepada yang Haqq dan menghalang kebathilan, kerana sesungguhnya Haqq tersebut akan memusnahkan segala kebathilan. Pihak yang memperjuangkan kebathilan sama ada mereka sedar atau tidak, adalah pihak yang sepatutnya meminta maaf ke atas perjuangan sesat mereka itu.

“Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang Haqq menentang yang Bathil, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia.” [Tafsiran makna Quran oleh Tafsir Rahman, al-Anbiyaa, ayat 18]

Wa Allahu A’lam.

Rujukan (diakses 24 May 2013):



No comments:

Post a Comment