Saturday, March 12, 2016

Saudi Amerika - hamba dan tuannya




Pada 4 Februari 2016, seorang jurucakap ketenteraan Saudi Arabia membuat pengumuman bahawa Saudi Arabia bersedia untuk menghantarkan tentera darat ke Syria untuk memerangi gerakan militan Daulah Islam al-Iraq wa as-Sham (DAESH) atau di juga dikenali sebagai Islamic State Iraq and Syam (ISIS). Brig. Gen. Saudi Arabia, Ahmed Asiri berkata kepada akhbar Associated Press bahawa Saudi Arabia telah bertindak dengan melakukan serangan udara ke atas DAESH, apabila bermulanya kempen ketenteraan Amerika Syarikat (AS) ke atas DAESH pada September 2014, tetapi sekarang telah tiba masanya untuk Saudi Arabia untuk menghantarkan tentera daratnya ke Syria. Beliau berkata, “Kami bertekad untuk memerangi dan mengalahkan DAESH (ISIS)”. Dan hanya beberapa bulan sebelum ini, Saudi Arabia mengetuai kempen mengerakkan pakatan Sunni untuk kononnya memerangi gerakan militant tersebut.

Tindakan Saudi Arabia untuk menghantarkan tentera ke Syria adalah susulan daripada kegagalan konferensi Riyadh yang ditaja oleh negara yang menjadi hamba kepada AS itu. Konferensi Riyadh telah menyaksikan bahawa kesemua pewakilan bersetuju untuk meletakkan Syria di bawah mandat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (United Nations) sebelum sebuah kerajaan sekular demokratik dibentuk untuk menggantikan rejim Bashar Assad. Ini adalah sesuatu yang serupa berlaku di Irak selepas diceroboh oleh tentera AS pada tahun 2003, iaitu sebuah kerajaan sekular demokrasi dibentuk untuk menggantikan rejim Baath sosialis dibawah kekuasaan Saddam Hussein. Konferensi tersebut ternyata menemui kegagalan sebab ianya bertentangan dengan aspirasi kumpulan-kumpulan bersenjata yang sedang memerangi rejim Assad yang mahukan Ahkam Syariah dilaksanakan dan bukannya sebuah negara sekular demokrasi. Oleh itu, langkah seterusnya adalah melakukan intervensi ketenteraan ke atas Syria, dengan dalih untuk memerangi DAESH.

Sedikit mengenai sejarah penubuhan Arab Saudi
Negara Saudi Arabia terbentuk hasil daripada pemberontakan ke atas Khilafah Tuki Uthmaniyyah. Britain telah memainkan pernana penting di dalam pembentukan negara ini. Berikut adalah sedikit petikan daripada buku "Bagaimana Khilafah dimusnahkan" oleh Abdul Qadeem Zalloom (bekas Amir Hizb ut-Tahrir). Britain telah memberikan bantuan senjata kepada gerakan militant yang diketuai oleh Ibn Saud sejak kurun ke-18 lagi, dan kemudiannya anaknya iaitu Abdul-Aziz Ibn Saud. Gerakan militant ini telah menakluki Kuwait pada tahun 1788 Masehi daripada Khilafah Uthmaniyyah. Kemudiannya menguasai Makkah dan Madinah pada tahun 1803 dan 1804 Masehi daripada kekuasaan Khilafah Uthmaniyyah. Kemudiannya menyerang kota Damsyik di Syria pada 1810 dan Najaf di Iraq. Usaha pemberontakan ke atas Khilafah Uthmaniyyah oleh Abdul-Aziz Ibn Saud telah berhasil mendirikan negara Saudi Arabia pada 23 September 1933 yang diperintah oleh sistem keluarga beraja secara warisan turun temurun. Britain begitu yakin memberikan bantuan senjata kepada gerakan militant Ibn Saud melalui India (British India), sebab Britain mengetahui bahawa gerakan tersebut mahu menguasai wilayah Arab Teluk daripada Khilafah Uthmaniyyah dengan mendirikan negara yang diperintah oleh sistem keluarga beraja secara warisan turun temurun, dan bukannya untuk menggantikan Khalifah Uthmaniyyah dengan dirinya sendiri sebagai Khalifah kepada umat Islam keseluruhannya.

Apabila terhasilnya didirikan negara Saudi Arabia, ianya masih sebuah negara uang miskin yang tidak mempunyai apa-apa infrastruktur dan pembangunan. Raja Abdul Aziz ibn Saud kemudiannya memberikan laluan kepada syarikat minyak AS untuk mencari-gali minyak di negaranya. Hubungan baru ini di antara AS dengan Saudi Arabia menjadikan Saudi Arabia bergantung penuh kepada AS, dari segi ekonominya. Dan pada tahun 1938, syarikat AS telah menjumpai minyak dengan jumlah yang sangat banyak yang boleh diekspot. Syarikat minyak AS tersebut kemudiannya dinamakan Arabian American Oil Company (Aramco) yang menjadi milik penuh Saudi Arabia hanya pada tahun 1980. Dengan kekayaan minyak Saudi Arabia, AS telah menggantikan peranan Britain untuk menjadi rakan penting kepada Saudi Arabia, termasuklah di dalam bidang ketenteraan. Untuk menyingkirkan pengaruh Britain dari rantau Arab Teluk, AS telah menanda-tangani pakatan ketenteraan dengan Saudi Arabia pada tahun 1951, dan menyewakan lapangan terbang ketenteraan di Dhahran kepada AS. Beberapa tahun selepas itu, iaitu 1956 semasa tercetusnya Perang Suez yang menyaksikan AS telah memaksa Britain, Perancis dan Israel untuk mengundurkan tenteranya dari menceroboh Mesir, selepas penguasa Arab Sosialis Mesir, Presiden Gamal Abdul Nasser menjadikan terusan Suez sebagai milik negara Mesir. Ini telah menjadikan Saudi Arabia untuk menyewakan lapangan terbang ketenteraan Dhahran kepada AS untuk bertahun-tahun yang akan datang, sementara Presiden Nasser telah diangkat menjadi wira bangsa Arab dengan “mengalahkan” ketiga-tiga Britain, Perancis dan Israel sekaligus di dalam Perang Suez.

Walaupun begitu, hubungan AS-Saudi menjadi buruk disebabkan oleh beberapa insiden yang melibatkan peperangan dengan negara Yahudi Zionis Israel dengan negara-negara Arab. Pada tahun 1967, apabila tercetusnya perang Arab-Israel, telah menyaksikan beberapa siri demonstrasi anti-AS dan anti-Israel di Saudi Arabia yang telah memaksa Raja Faisal Abdul Aziz untuk mengantungkan operasi Aramco untuk menghalang penjualan minyak ke AS dan Britain, tetapi hanya untuk beberapa bulan sahaja. Tetapi penggantungan tersebut telah ditarik balik dan operasi pengeluaran minyak telah pulih seperti biasa. Selepas berakhirnya perang Arab-Israel pada tahun 1967, Saudi Arabia mengalami tekanan dari umat Islam seluruh dunia  disebabkan hubungan ekonomi mereka dengan AS, di mana AS pada masa yang sama adalah sekutu kuat Israel di Timur Tengah. Raja Saudi Arabia iaitu Faisal ibn Abdul Aziz, berharapan untuk memberikan tekanan kepada AS untuk memaksa Israel mengundurkan tenteranya balik ke sempadan asal sebelum perang tahun 1967. Namun begitu, dengan adanya lobi Zionis yang begitu kuat di AS, hubungan AS-Israel semakin kuat dan AS juga membekalkan senjata kepada Israel semasa perang Arab-Israel pada tahun 1973. Semasa tercetusnya perang Arab-Israel pada tahun 1973, Saudi Arabia mengalami tekanan sekali lagi untuk memberhentikan penjualan minyak ke AS. Dan walaupun Raja Faisal memberhentikan penjualan minyak ke AS hanya selama dua bulan sahaja, tindakannya telah memberikan kesan buruk kepada AS, sehinggakan setengah ahli politik AS seperti Henry Kissinger pernah mengancam melakukan pencerobohan ke atas Saudi Arabia untuk merampas kekayaan minyak Saudi Arabia. Raja Faisal menjawab, “Kamu adalah golongan yang tidak boleh hidup tanpa minyak kami. Tetapi kami boleh hidup tanpanya. Kami berasal dari padang pasir, dan keturunan kami hidup dengan kurma dan susu, dan kami dengan senangnya boleh kembali kepada kehidupan kami yang terdahulu”. Raja Faisal kemudiannya dibunuh dengan ditembak oleh anak saudaranya sendiri pada tahun 1975, dan sejak itu, raja-raja Saudi Arabia tidak pernah menggunakan minyak sebagai senjata apabila berdepan dengan keangkuhan AS.

Hubungan ketenteraan AS-Saudi Arabia mencapai kemuncaknya apabila rejim Sosialis Baath Saddam Hussein menceroboh Kuwait pada Ogos 1990. Perkara tersebut dimanfaatkan oleh AS dengan memujuk Raja Fahd untuk menerima askar-askar AS untuk ditempatkan di Saudi Arabia untuk menghadapi kemungkinan pencerobohan oleh tentera Irak. Dengan persetujuan Raja Fahd, AS telah membawa masuk lebih 100,000 askarnya ke Saudi Arabia yang terdiri daripada 30% tentera wanita, dan merupakan lapan kali ganda berbanding degan jumlah tentera Saudi Arabia. Begitu juga diiringi dengan budaya liar askar-askar kafir AS, yang termasuk minuman keras, konsert muzik, pelacuran yang mencemari bumi peninggalan para anbiya’, Ibrahim, Ismail dan Muhammad (SAW). Akibat dengan tindakan tersebut, dunia umat Islam tidak putus dengan protes anti-AS, sehinggakan ada yang sanggup mengelarkan Saddam Hussein sebagai wira oleh kerana terlalu bencikan AS. Intervensi AS ke atas Saudi Arabia hanya untuk menjaga kepentingan AS di Saudi Arabia iaitu kekayaan minyaknya, dan bukannya untuk menjaga kesucian dua tanah suci! Akibat dari pembelotan Saudi Arabia ini dengan membenarkan kemasukan tentera AS ke wilayahnya, maka timbullah gerakan militan yang terang-terang memusuhi Saudi Arabia seperti Al-Qaeda yang telah melakukan siri pengeboman keatas kapal perang AS di rantau Arab Teluk dan dikatakan melakukan serangan pada 11 September 2001 (rujukan buku Belitan Amerika di Tanah Suci oleh pengarang Dr. Safar al-Hawali, 2005).

Setelah berjaya menghalau keluar tentera Saddam Hussein keluar dari Kuwait pada tahun 1991, tentera AS tidak ditarik balik dari wilayah Saudi Arabia, tetapi dikekalkan untuk selama beberapa tahun di tempat-tempat tertentu. AS menciptakan ketakutan terhadap rejim Saddam, untuk terus mengekalkan tenteranya di rantau Arab Teluk khususnya di Saudi Arabia dan Kuwait. Dengan ini, AS telah Berjaya membina pangkalan ketenteraan mereka yang besar di rantau Arab Teluk yang telah membantu mereka untuk melancarkan serangan ke atas Afghanistan dan Iraq pada tahun 2001 dan 2003. Juga serangan pesawat kawalan jauh (drone) ke atas penduduk Yemen adalah berpusat di pangkalan tentera AS di Saudi Arabia. Tindakan rejim Saudi Arabia dengan menjadikannya hamba kepada AS adalah dilarang keras di dalam al-Quran, sebagaimana firmanyaNya:

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang­-orang Mukmin. Inginkah kamu mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk mengazabmu).” [TMQ an-Nisa’ (4):144].

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil menjadi wali (teman/pemimpin) orang-orang yang menjadikan deen kamu main-main dan olok-olok, iaitu orang-orang yang diberikan Kitab sebelum daripada kamu dan juga orang-orang yang tidak beriman. Takutlah kepada Allah sekiranya kamu benar-benar beriman.” [TMQ al-Ma’idah (5):57].

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman setiamu, mereka satu sama lain saling melindungi. Barangsiapa diantara kamu yang menjadikan mereka teman setia, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sungguh Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim". [TMQ Al-Maidah :51]

Krisis Syria dan kepatuhan hamba kepada tuannya
Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter mengalu-alukan usaha Saudi Arabia untuk menghantarkan tenteranya ke Syria. Beliau juga menerangkan bahawa dengan adanya pertambahan usaha dari negara lain, ini akan menyenangkan lagi objektif AS untuk memerangi DAESH. Bagi yang mengikuti perkembangan di Syria, terdapat beberapa buah negara yang campur-tangan di Syria dengan secara langsung menolong AS di dalam memerangi kumpulan militant yang sedang memerangi rejim Assad. Rusia, Iran dan Hizb-e-Iran (Hizbollah) dari Lubnan adalah pihak ketiga yang anti-AS, yang merupakan pendukung tegar rejim Assad tetap mahu menolak sebarang peralihan kuasa untuk menggantikan rejim Assad. Mereka juga memerangi segala gerakan militant Islam yang mahu mendirikan semula Khilafah Islam. Tindakan Saudi Arabia mendapat sokongan AS, sebab tindakan Saudi Arabia ini adalah untuk memaksa kumpulan-kumpulan militant yang memerangi rejim Assad yang masih enggan untuk bekerjasama dengan AS, supaya menerima solusi AS ke atas Syria. Amerika Syarikat adalah “sick man of the West” (orang sakit Barat), dan mereka telah dibebankan oleh krisis ekonomi yang menjadikan sebahagian besar rakyatnya kehilangan pekerjaan, di samping berbelanja berbillion dollar setiap hari untuk mengekalkan ketenteraan mereka di merata dunia termasuklah tanah jajahan mereka di Iraq dan Afghanistan. Jadi AS tidak terdaya untuk melakukan intervensi ketenteraan buat kali ketiga di abad ini ke Syria, sebagaimana semasa pentadbiran Bush yang melakukan intervensi ketenteraan ke atas Afghanistan dan Iraq pada tahun 2001 dan 2003. Jadi kenapakah Saudi Arabia yang tidak pernah mengalami ancaman pencerobohan dari negara Arab lain di Timur Tengah sejak 1991, perlu menghantarkan tenteranya ke Syria? Penghantaran tentera oleh Saudi Arabia ke Syria adalah secara langsung  menjalankan agenda AS untuk mencari pengganti Assad yang boleh menerima AS sebagai rakan dan bukan menjadi lawan, dan menggagalkan usaha kumpulan-kumpulan militant untuk mendirikan semula Khilafah Islam yang bertentangan dengan aspirasi AS. Pengukuhan pengaruh AS di rantau Timur Tengah adalah seiring dengan pengukuhan keluarga Ibn Saud ke atas Saudi Arabia. Ini disebabkan oleh kerana kumpulan kumpulan militant yang memerangi rejim Assad adalah juga mahu mendirikan semula Khilafah Islam di bumi Syam, dan ini akan membahayakan kedudukan penguasaan keluarga Ibn Saud ke atas wilayah Saudi Arabia di masa yang akan datang.

Dengan kejatuhan harga minyak dan ekonomi yang banyak bergantung kepada ekspot minyak, Saudi Arabia akan dibebankan dengan tindakan mereka untuk melakukan intervensi ketenteraan ke atas Syria, sebagaimana tindakan ketenteraan ke atas pemberontak Houthi di Yemen. Walaupun begitu, dengan sikap mereka yang mahu terus mengekalkan pengaruh AS di rantau Timur Tengah, sanggup menghantarkan tentera mereka ke Syria, walaupun ekonomi mereka bakal tergugat dengan kejatuhan harga minyak. Saudi Arabia, selama berdekad-dekan lamanya berpura-pura mempertahankan Islam, tetapi sebaliknya adalah mempertahankan kepentingan Amerika Syarikat di rantau Timur Tengah. Allah (SWT) berfirman:

Tidakkah engkau (wahai Muhammad) melihat orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh[TMQ: Al Nisa, 60].

Krisis di Timur Tengah telah menjadi semakin buruk dan kaan merebak ke wilayah umat Islam yang lain, melainkan umat Islam mendirikan semula negara Khilafah berhukum dengan Ahkam Syariah, yang boleh menghalang intervensi kuasa penjajah kafir yang mempergunakan asset umat Islam untuk memerangi umat Islam sendiri. Firman Allah (SWT):

Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan[TMQ: Al Anfal, 24].

No comments:

Post a Comment