Saturday, March 12, 2016

Krisis pemberhentian pekerja



Berikutan dengan krisis ekonomi yang melanda negara disebabkan oleh kejatuhan harga minyak mentah dan kejatuhan nilia ringgit, syarikat petroleum negara, Petronas mengumumkan akan memberhentikan kira-kira seribu pekerjanya di dalam menjimatkan kos, di dalam suatu lapuran akhbar The Star pada 1 Mac 2016. Dan sebelum itu, syarikat penerbangan negara, Malaysian Airline System (MAS) diberitakan memberhentikan beribu-ribu pekerjanya sebagai langkah berjimat cermat. Dan juga suatu lapuran dari Reuters mengatakan bahawa China, negara yang mempunyai ekonomi terbesar di dunia juga telah memberhentikan seramai 1.8 juta pekerjanya di dalam sektor perlombongan dan industri. Lapuran dari The Sun Daily pada Julai 2015 mengatakan bahawa seramai 10,000 pekerja telah diberhentikan dari pekerjaan masing masing sehingga Julai 2015. Juga lapuran dari The Sun Daily pada 15 Februari 2016 mengatakan bahawa terdapat seramai 200,000 graduan mengganggur walaupun terdapat seramai 2 juta pekerja asing di negara ini. Angka pemberhentian pekerja di negara ini adalah jauh lebih rendah daripada angka seramai 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh untuk bekerja di berbagai sektor di negara ini.

Benarkah seluruh dunia kekurangan pekerja?
Suatu lapuran daripada sebuah pertubuhan yang bernama Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang disiarkan oleh majalah Fortune pada 11 November 2015 memberikan senarai negara negara yang mempunyai purata jumlah penduduk yang melakukan pekerjaan yang paling banyak di dunia ini, mengikut kadar bilangan jam bekerja selama seminggu. Terdapat sebanyak 36 buah negara yang mempunyai purata penduduk yang melakukan pekerjaan yang paling banyak di dalam bilangan jam seminggu, dan Malaysia tidak temasuk di dalam senarai tersebut. Negara negara Eropah yang mengalami kegawatan ekonomi dan masalah pengganguran seperti Sepanyol, Itali dan Greece adalah termasuk di dalam senarai 36 buah negara ini. Greece, yang mengalami masalah ekonomi dengan masalah bangkrap, adalah di tangga no 4, dengan secara puratanya penduduknya bekerja sebanyak 39.27 jam seminggu, atau bersamaan dengan 8 jam sehari, dari pukul 9 pagi sehingga ke 5 petang selama lima sehari seminggu. Negara Amerika Syarikat juga merupakan negara yang mempunyai purata jumlah penduduk yang paling banyak melakukan pekerjaan di dalam bilangan jam semingga, di tempat ke-16, dengan jumlah 34.40 jam seminggu, atau bersamaan dengan 6.88 jam sehari untuk lima hari bekerja. Walaupun begitu, syarikat-syarikat di Amerika Syarikat juga telah memberhentikan seramai 200,000 pekerja sejak bulan Januari 2015 yang dikaitkan dengan harga petroleum yang rendah, menurut lapuran dari portal berita CNBC pada 3 Mac 2016. Bulan Januari 2016 sahaja telah menyaksikan seramai 71,114 pekerja telah diberhentikan kerja masing-masing di Amerika Syarikat. Jepun juga adalah merupakan negara yang mempunyai purata jumlah penduduk yang berkerja lebih masa, yakni 33.25 jumlah jam seminggu, tetapi dipercayai bahawa angka tersebut adalah lebih besar daripada yang dilapurkan secara rasmi sebab sebahagian besar pekerja Jepun juga melakukan melakukan kerja di luar waktu pejabat. Jepun juga mempunyai seramai 200 pekerja yang mati mengejut setiap tahun akibat jumlah jam kerja yang berpanjangan (overworking), dan mempunyai terma yang disebut karoshi yang bermakna bekerja sehingga mati akibat kerja berpanjangan. Suatu kajian daripada American Institute of Stress menyatakan bahawa kerja berlebihan waktu boleh menjadikan seseorang mengalami tekanan mental berlebihan, di samping terdedah kepada risiko masalah kesihatan seperti masalah jantung.


Di samping fenomena bekerja berlebihan masa, sebahagian besar manusia yang juga melakukan pekerjaan berlebihan masa adalah kanak-kanak. Suatu lapuran dari Al-Jazeerah pada 2014 mengatakan bahawa terdapat buruh kanak-kanak seawal usia 7 tahun yang melakukan pekerjaan di ladang-ladang tembakau untuk industri rokok di Amerika Syarikat. Lapuran itu juga mengatakan bahawa buruh kanak-kanak menerima wang sebanyak US $7.25 sejam, dan ramai di antara mereka mengalami masalah kesihatan, bekerja lebihan masa tanpa bayaran secukupnya dan di bawah panas matahari terik tanpa pakaian uniform yang sesuai. Baru-baru ini, Chris Albin-Lackey, penyelidik kanan di Business and Human Rights Program di Human Rights Watch mendedahkan bahawa di negara Ghana, salah satu negara Afrika yang merupakan pengeluar logam utama, terdapat banyak lombong yang beroperasi secara haram yang mengupah kanak-kanak yang berumur 9 tahun untuk bekerja selama 14 jam sehari, dengan bayaran yang sangat sedikit, iaitu US $1.5 to US $6.25 sehari. Di samping itu, kondisi pekerjaan mereka dipenuhi oleh pencemaran bahan kimia yang merbahaya dan boleh mengakibatkan kesan jangka-panjang. Menurut pertubuhan Organasasi Buruh Antarabangsa, terdapat seramai 120 juta buruh kanak-kanak berumur di antara 5-14 tahun di seluruh dunia. Inilah kesan daripada penjajahan yang masih diteruskan oleh negara-negara Kapitalis barat, yang majoritinya merupakan negara imperialis sehingga sekarang. Keadaan di Afrika sekarang tidak banyak berbeza, walaupun telah “merdeka” daripada penjajah, tetapi negara-negara Kapitalis penjajah masih mengekalkan cenkaman terhadap benua Afrika. Syarikat-syarikat multinasional mereka yang kebanyakannya di dalam sektor petroleum, gas asli dan galian mineral masih beroperasi dengan bebas di negara-negara Afrika dengan mengaut untung di samping mengeksploitasikan manusia tempatan untuk bekerja sebagai buruh dengan upahan yang sangat rendah. Maka, tidak meghairankan kenapa setiap tahun beribu-ribu penduduk dari Afrika Barat dan Afrika Timur melakukan penghijrahan melalui jalan darat dan merentasi Laut Mediterraenean untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah walaupun sebagai pendatang tanpa izin, walaupun beribu-ribu mereka telah mati lemas di Laut Mediterranean.

Jadi adakah dunia mengalami kekurangan pekerja sebagaimana kekurangan makanan dan kekayaan? Atau adakah semuanya mencukupi tetapi ianya terkait dengan masalah sistem ekonomi yang pincang yang menjadikan pengagihan sebagai punca berbagai masalah terkait dengan ekonomi yang sedang berlaku.

Sistem ekonomi Kapitalis adalah masalah pengagihan dan bukan masalah produksi
Sistem ekonomi Kapitalis menyatakan bahawa masalah ekonomi adalah masalah produksi atau pengeluaran, yakni manusia mestilah berusaha untuk meningkatkan pengeluaran untuk menjamin keberlangsungan kehidupan di dunia ini. Di dalam usaha untuk mengingkatkan produksi atau pengeluaran juga bermakna peningkatan di dalam sektor pekerjaan disebabkan peningkatan di dalam sektor pengeluaran memerlukan juga lebih ramai pekerja mahir dan tidak mahir.

Ahli ekonomi Kapitalis memandang bahawa kebajikan rakyat akan terjaga apabila kekayaan negara meningkat selari peningkatan pengeluaran, iaitu dengan meningkatnya angka Gross Domestic Product (GDP) atau Keluaran Negara Kasar. Secara teorinya, suatu negara yang mempunyai nilai GDP yang tinggi adalah negara yang mempunyai penduduk yang terjamin segala keperluan mereka. Dengan itu, rakyat akan dapat menikmati kekayaan tersebut melalui pekerjaan dan cara-cara lain. Thomas Malthus seorang ahli ekonomi kapitalis Britain pada kurun ke-18 di dalam bukunya yang bertajuk “An essay on the principle of population” telah mengatakan bahawa pertumbuhan populasi penduduk dunia pada suatu masa yang akan datang tidak dapat diimbangi oleh jumlah pengeluaran makanan, iaitu akan terdapat kekurangan makanan untuk menampung pertambahan penduduk dunia. Dalam pada itu, Eric Holtz melapurkan di dalam Huffington Post, dengan merujuk kepada suatu kajian yang telah dibuat oleh pakar-pakar daripada McGill University dan University of Minnesota yang diterbitkan di dalam jurnal Nature bahawa dunia sebenarnya mempunyai cukup makanan untuk 10 billion penduduk. Sementara itu, suatu pertubuhan amal yang bernama Oxfam di Canada pula membuat kajian bahawa dunia telah mengeluarkan pertambahan purata makanan sebanyak 17% setiap penduduk dunia jika dibandingkan 30 tahun lalu, tetapi masih terdapat 1 billion penduduk yang kekurangan makanan. Ini membuktikan bahawa teori Malthusian adalah tidak benar. Dunia menempuh perkembangan sains dan teknologi yang begitu pesat dan telah berupaya untuk menukarkan gurun kepada tanah pertanian sebagaimana yang berlaku di negara negara rantau Arab Teluk, sehinggakan negara seperti Saudi Arabia yang sebahagian besarnya merupakan tanah gurun berupaya menjadi negara pengekspot gandum, produk tenusu dan sayur-sayuran. Manakala sebuah negara yang sangat kecil seperti Belanda (Netherlands) di mana 17% wilayahnya adalah tanah yang ditebus-guna dari laut, walaupun begitu berupaya menjadi pengeluar sayur-sayuran dan buah-buahan melalui teknologi hydrophonic yang boleh dilakukan di dalam bangunan yang tidak memerlukan tanah dan air yang banyak. Maka dengan itu juga, pertambahan produksi dan pengeluaran barang-barangan juga memerlukan ramai pekerja mahir dan tidak mahir, selari dengan pertambahan pengeluaran dan kekayaan.

Masalah kekurangan makanan adalah berkait rapat dengan masalah pengangguran dan pembuangan pekerja di dalam sistem ekonomi kapitalis. Ahli ahli ekonomi kapitalis gagal melihat masalah ini sebagai suatu masalah pengagihan dan bukannya masalah produksi sepertimana yang dinyatakan oleh teori Malthus pada kurun ke-18. Kesemua masalah di dalam sistem ekonomi kapitalis adalah berpunca daripada masalah pengagihan, sama ada pengagihan kekayaan, makanan dan juga peluang pekerjaan. Sistem ekonomi Kapitalis yang hanya memberikan keuntungan kepada sebahagian kecil jumlah penduduk adalah sistem yang rosak yang tidak berupaya mengagihkan kekayaan, makanan dan juga peluang pekerjaan dengan betul. Tetapi sebaliknya, sistem ekonomi Sosialis/Komunis yang bertentangan dengan sistem ekonomi Kapitalis adalah juga mempunyai kerosakan dan kepincangan tersendiri di dalam mengagihkan keperluan kepada penduduknya secara sama rata tanpa mengira keperluan dan keupayaan setiap individu masing-masing.

Bahawa sesungguhnya Allah (SWT) menjamin rezeki untuk setiap makhlukNya di dunia ini, sebagaimana firmanNya:

“…dan tidak satu pun makhluk bergerak di bumi melainkan dijamin Allah rezekinya” [TMQ, Surah Hud, ayat 6].

Negara mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk penduduknya. Di dalam suatu lapuran dari Utusan Malaysia pada 1 Februari 2016 menyatakan bahawa terdapat harta berjumlah RM 60 billion harta pusaka yang tidak dituntut oleh waris si mati orang Islam sejak tahun 1950an sehingga sekarang. Sekiranya si mati tidak mempunyai waris yang mahu menuntutnya, maka hartanya akan dimasukkan ke dalam Baitul Maal untuk diagihkan kepada yang layak untuk menerimanya.
Islam telah melarang penimbunan segala bentuk harta, sebagaimana firmanNya:

Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tapi tidak menginfakkannya ke jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat azab seksa yang pedih” [TMQ, surah at-Taubah, 39].

“…supaya harta tersebut janganlah hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu” [TMQ, surah al-Hasyr, 7].

Seseorang kaya yang menyimpan hartanya di dalam Daulah Islam, akan disuruh untuk membelanjakan hartanya untuk manfaat umum, seperti membuka industri atau perniagaan yang dapat menjada pekerjaan dan seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada yang tidak mempunyai pekerjaan. Dan ini berlainan dengan sistem ekonomi Kapitalis yang menggalakkan orang supaya menyimpan hartanya supaya menjadi harta beku di dalam bank atau beredar di dalam pasaran saham, yang tidak memberikan manfaat kepada sesiapapun, kecuali kepada si pemiliknya sendiri. Dan juga, di dalam Daulah Islam, sesuatu tanah yang dimiliki oleh seseorang tetapi tidak diusahakan selama tiga tahun, maka tanah tersebut akan diambil dan diberikan kepada sesiapa yang boleh mengusahakannya, dan dengan ini memastikan bahawa harta sentiasa akan beredar kepada orang yang layak menerimanya dan boleh menerima manfaat daripadanya. Jelasnya, Islam melarang penimbunan harta yang tidak dapat memberikan manfaat dan juga melarang harta beredar di kalangan orang tertentu sahaja. Oleh itu, secara tidak langsung dengan membenarkan harta terus beredar di dalam masyarakat, maka kesemua orang boleh mendapat manfaat bersama. Di dalam Daulah Islam, sekiranya pekerja diberhentikan daripada pekerjaan tetapi masih berupaya bekerja dan belum mendapat pekerjaan, maka seseorang tersebut layak menerima zakat, sebagai seorang yang telah putus perbelanjaan kehidupan akibat kehilangan sumber mata pencarian. Sekiranya seseorang tersebut juga tidak mampu memiliki keperluan asas yang lain seperti tempat tinggal, maka ianya layak untuk menerima bantuan daripada Daulah.

Tekanan kehidupan di dalam negara yang melaksanakan sistem ekonomi Kapitalis yang berasaskan kepada ekonomi liberal, riba, pinjaman bank dan percukaian sememangnya telah membebankan kehidupan masyarakat dan tidak berupaya untuk menjamin keperluan asas bagi setiap individu. Pekerja yang diberhentikan daripada pekerjaan, juga mempunyai beban yang perlu ditanggung seperti sara-hidup keluarga, pinjaman kereta dan tempat tinggal dan sebagainya. Dan pemberhentian pekerja adalah masalah biasa di dalam sistem Kapitalis, begitu juga masalah lain seperti bekerja lebih masa dan juga buruh kanak-kanak (child labour), memberikan suatu jurang yang sangat luas di dalam kehidupan manusia di antara yang berada dan kurang berada. Ahli politik Sosialis/Komunis telah berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan melaksanakan negara Sosialis/Komunis yang menjamin ekonomi masyarakatnya, tetapi ternyata telah gagal di dalam masa yang sangat singkat. Maka terpulanglah kepada umat Islam untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan mendirikan semula negara Khilafah.

No comments:

Post a Comment