Saturday, September 22, 2012

Hipokrisi kebebasan bersuara Peranchis




Sebuah majalah Perancis menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad semalam sekali gus memburukkan lagi ketegangan global berhubung filem Innocence of Muslims yang memperlekehkan agama Islam. Perkembangan tersebut menyebabkan Perancis meningkatkan kawalan keselamatan di semua kedutaan negara itu. Karikatur biadap itu disiarkan majalah mingguan tempatan, Charlie Hebdo, beberapa hari selepas bantahan ganas tercetus dari Benua Asia hingga ke Afrika kerana memprotes filem Innocence of Muslims. Mengulas berhubung tindakan majalah Charlie Hebdo, Perdana Menteri Jean-Marc Ayrault berkata, kebebasan bersuara adalah terjamin di Perancis tetapi menegaskan kebebasan tersebut perlu disertakan dengan rasa tanggungjawab dan hormat kepada bangsa dan agama lain. Menteri Luar, Laurent Fabius pula mengeluarkan komen lebih keras apabila menyifatkan tindakan Charlie Hebdo menyiarkan karikatur tersebut umpama mencurahkan minyak ke dalam api [1].

Maurice Sinet adalah seorang bekas kartunis di majalah Charlie Hebdo yang menyiarkan artikel dan kartun yang menghina perkahwinan Jean Sarkozy, iaitu anak lelaki kepada Nicholas Sarkozy kepada seorang wanita Yahudi iaitu Jessica Sebaoun-Darty. Beliau diugut oleh majalah Charlie Hebdo untuk meminta maaf terhadap penulisan dan kartunis yang menghina tersebut, tetapi beliau berkeras dan tidak mahu meminta maaf. Akhirnya beliau dipecat oleh majalah Charlie Hebdo daripada jawatannya. Beliau juga mengatakan mendapat ancaman bunuh oleh pergerakan Yahudi yang bernama Jewish Defence League [2]. 

Pada bulan Januari tahun ini, Peranchis meluluskan undang-undang untuk menghukum mana-mana pihak yang menafikan pembunuhan rakyat Armenia oleh negara sekular Turki semasa tamat Perang Dunia Pertama, iaitu pada tahun 1915-1916. Sesiapa yang didapati bersalah menafikan pembunuhan beramai-ramai tersebut akan dikenakan denda sebanyak Euro 45,000 dan setahun penjara [3].

Roger Garaudy (17 July 1913 – 13 June 2012) adalah seorang ahli falsafah Peranchis yang memeluk Islam. Beliau menulis sebuah buku yang bertajuk (dalam bahasa Peranchis) Les Mythes fondateurs de la politique israelienne, yang kemudiannya dialih-bahasakan kepada The Founding Myths of Modern Israel yang menafikan peristiwa pembunuhan seramai 6 juta kaum Yahudi semasa Perang Dunai Kedua yang dikenali sebagai Holocaust. Buku beliau telah diharamkan penerbitannya oleh mahkamah di Peranchis. Bermula pada 27 February 1998, beliau juga telah dikenakan denda sebanyak 240,000 Francs dan dipenjarakan selama beberapa tahun [4].

Untuk meredakan kemarahan keluarga diraja Britain, sebuah majalah bernama Closer diarahkan untuk menghentikan penerbitan gambar-gambar separuh bogel isteri Putera Britain Williams iaitu Catherine. Mahkamah tersebut mengharamkan gambar-gambar separuh bogel pasangan beraja Britain. Mahkamah tersebut juga memberikan injunksi kepada majalah tersebut untuk menyerakan kesemua file gambar-gambar tak senonoh tersebut kepada wakil kepada pasangan beraja Britain dalam masa 24 jam atau dikenakan denda sebanyak Euro 10,000 untuk setiap hari penundaan [5]. Jelas di sini bahawa mahkamah tersebut sanggup menjaga hati keluarga diraja Britain tetapi sengaja membiarkan penerbitan semula karikatur penghinaan terhadap Rasulullah (SAW).

Maka bukti-bukti tersebut menunjukkan bahawa kebebasan bersuara di Peranchis hanya dimiliki oleh golongan tertentu sahaja. Mereka ini diberikan lesen untuk menghina dan menghasut orang lain untuk turut membenci dan menghina golongan yang ditutup mulut mereka dengan perlaksanaan undang-undang yang berat sebelah. Slogan kebangsaan Peranchis seperti Liberté, égalité, fraternité (Kebebasan, Kesamaan, Persaudaraan) hanyalah suatu penipuan besar Peranchis kepada seluruh dunia, walhal negara ini merupakan negara penjajah yang menjajah dan merompak kekayaan negara-negara di benua Afrika, Asia Timur dan Timur Tengah. Oleh itu umat Islam janganlah tertipu dengan idea-idea demokrasi liberal yang dikembangkan oleh negara ini.



Rujukan (akses pada 20 Sep 2012):
  1. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0920&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
  2. http://www.newcivilisation.com/home/international-affairs/french-cartoons-baiting-muslims-and-islam-as-a-fundamental-principle-of-the-republic
  3. http://www.france24.com/en/20120123-french-senate-passes-bill-outlawing-genocide-denial-armenia-turkey
  4. http://www.memri.org/report/en/0/0/0/0/0/0/6490.htm
  5. http://my.news.yahoo.com/french-court-orders-magazine-hand-over-topless-kate-104053776.html


No comments:

Post a Comment