Wednesday, September 26, 2012

Apa ada dengan “menawan” Selat Inggeris?



Apa ada dengan “menawan” Selat Inggeris?

Kuala Lumpur: Tujuh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk perenang solo, Estino Taniyu berjaya menawan Selat Inggeris, malam tadi. Estino, 24, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Semporna, Sabah yang memulakan renangan jam 1.41 pagi waktu tempatan (8.41 pagi waktu Malaysia) dari Dover, United Kingdom ke Pantai Sandy, Calais di Perancis mengambil masa 13 jam 41 minit dan 45 saat. Peserta dari Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TLDM menyertai Program Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia anjuran Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7BM) itu dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles, berkata Estino, adalah rakyat Malaysia kedua berjaya takluk Selat Inggeris berenang secara terbuka, selepas Lennard Lee yang mencatatkan nama pada 2004. Datuk Malek Mydin menakluki Selat Inggeris pada Ogos 2003. “Enam perenang yang berjaya menamatkan renangan pula adalah kumpulan pertama rakyat Malaysia menawan Selat Inggeris [1].

Berenang adalah suatu aktiviti yang sangat dianjurkan oleh Islam. Daulah Islamiyyah, khususnya Daulah Uthmaniyyah memiliki tentera laut yang terkuat di perairan Meiterranean pada suatu ketika dahulu selama beberapa ratus tahun dan turut ditakuti oleh tentera musuh, maka tidak hairanlah mereka juga memiliki perenang-perenang yang cekap lagi berdisiplin dalam armada mereka.

Tetapi apakah dengan “menakluk” atau “menawan” Selat Inggeris adalah sama seperti kerajaan British yang menawan dan menakluk semenanjung Tanah Melayu? Empayar British telah menawan dan menakluk semenanjung Tanah Melayu lebih dari seratus tahun dahulu menerusi kekuatan armada laut mereka dan memperkenalkan sistem pemerintahan sekular sebelum Tanah Melayu diberikan kemerdekaan pada tahun 1957. Berenang dan menyeberangi Selat Inggeris tidak boleh disamakan oleh peristiwa tentera Thariq bin Ziyad yang menyeberang Selat Gibraltar dari Afrika Utara dan singgah di semenanjung Iberian (Sepanyol dan Portugal) tepat 1300 tahun dahulu yakni pada tahun 711 Masehi. Berenang dan menyeberangi Selat Inggeris seolah-olah telah “menawan” dan “menakluk” selat tersebut tidak akan menyebabkan British menerima Islam sebagaimana Thariq bin Ziyad melakukan terhadap semenanjung Iberian.

Pada tahun 1930an, Benito Mussolini pemimpin fasis Itali mahu mengembalikan Itali kepada keagungan empayar Rom sebelum Masehi. Dia memulakan penaklukkan ke atas benua Afrika Utara seperti Libya dan Habsyah (Ethiopia) sebagaimana empayar Rom pada zaman sebelum Masehi. Beliau memulakan kempen ketenteraan untuk menakluk Habsyah pada tahun 1930an.

Semasa sukan Olimpik tahun 1960, seorang pelari maraton sejauh 42 km bernama Abebe Bikila telah memenangi pingat emas pertama untuk Habsyah dan merupakan pemenang pingat emas pertama bagi benua Afrika di dalam sukan Olimpik. Seorang penulis bernama Tim Judah telah menulis tentang peristiwa tersebut dengan mengatakan “It was particularly sweet for the older generation of Ethiopians. The marathon had passed through the Piazza Venezia. It was here, from the balcony of the Palazzo Venezia, that Mussolini had announced the beginning of his Ethiopian campaign 25 years before. Bikila returned home a conquering hero”, atau maksudnya “ianya merupakan detik manis bagi generasi terdahulu Ethiopia. Acara maraton tersebut telah melalui Piazza Venezia. Di sinilah, iaitu balkoni Palazzo Venezia, Mussolini telah mengumumkan kempen ketenteraannya 25 tahun dahulu. Bikila telah kembali ke negaranya sebagai seorang hero penakluk.” [2]

Seorang pelari maraton seperti Bikila hanya berlari maraton dan memenangi pingat emas, tetapi kemenangan pingat emasnya tidak menyebabkan negara Itali jatuh kepada kekuasaan Habsyah dan juga sebagaimana berenang menyeberangi dan “menakluk” Selat Inggeris tidak akan menjadikan negara Britain jatuh kepada kekuasaan ketenteraan Malaysia. Ianya jauh berbeza daripada peristiwa regim fasis Itali menjajah negara-negara Habsyah dan Libya secara ketenteraan, dan pemerintahan British ke atas Tanah Melayu secara paksaan ketenteraan.

Ianya juga jauh bezanya daripada peristiwa Thariq bin Ziyad pada usianya belasan tahun, yang menyeberangi Selat Gibraltar sambil membakar kesemua kapal-kapal mereka setelah singgah di semenanjung Iberian, sebab mereka tidak ingin kembali ke Afrika Utara, dan tentera Islam pimpinan Thariq bin Ziyad pada masa itu hanya mahukan kemenangan di dalam peperangan atau kematian syahid. Kemenangan tentera Thariq bin Ziyad mengalahkan musuh merupakan detik permulaan penguasaan Islam di Portugal an Sepanyol (Andalus) di bawah Daulah Umayyah, yang telah menyaksikan Andalus menjadi lampu penyuluh kepada seluruh benua Eropah yang masih berada pada zaman gelap pada ketika itu. Selama beberapa ratus tahun Andalus merupakan wilayah yang terkaya di Eropah, menjadi pusat peradaban, pusat perdagangan dan gedung ilmu pengetahuan dengan universiti-universiti terkemuka menjadi tumpuan ahli ilmuan dari merata negara. Setelah tamatnya kekuasaan Islam di Andalus pada tahun 1492, bagaimanakah keadaan Sepanyol dan Portugal pada masa ini? Kedua-dua negara masih bergelut dengan krisis hutang Eurozon dan mengalami masalah pengangguran. Kedua-dua negara telah jatuh miskin. Sehinggakan sebuah willayah di barat-laut Sepanyol bersempadan dengan Peranchis menghadapi laut Mediterranean iaitu Catalunia dengan ibu negaranya Barcelona, telah mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran untuk keluar daripada kekuasaan Sepanyol untuk merdeka disebabkan oleh masalah ekonomi yang melanda Sepanyol [3].

Dan insyAllah Islam akan kembali ke wilayah Andalusia suatu hari nanti.

Wa Allahu A’lam.

Rujukan (diakses pada 22 Sep 2012):
  1. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TujuhtawanSelatInggeris/Article/index_html
  2. Dari buku “Bikila: Ethiopia's Barefoot Olympian” oleh by Tim Judah, diterbitkan oleh  Reportage Press, dan “Abebe Bikila: the glory trail” http://www.ethiomedia.com/all/6252.html
  3. http://www.aljazeera.com/news/europe/2012/09/2012911184151278528.html

No comments:

Post a Comment