Thursday, May 30, 2013

Rejim Assad boneka Israel





Lapuran daripada Foreign Affairs menyebutkan bahawa rejim Israel tidak mahukan Bashar al-Assad daripada dijatuhkan oleh pemberontak yang sedang berperang menentang kerajaan tersebut [1]. Malah seorang pegawai tertinggi agen perisikan Mossad dari Israel menyatakan bahawa Assad merupakan orang terbaik untuk Israel, sebagai pemerintah di Syria [2], disebabkan rejim Assad tidak pernah menyerang dan membahayakan kewujudan Israel di rantau Timur Tengah selama lebih daripada 40 tahun. Ada beberapa perkara yang boleh disimpulkan dari dua lapuran tersebut:

1). Pertarungan diantara pemberontak menentang rejim Assad bukanlah pertarungan diantara puak Sunni (pemberontak) menentang Syiah (rejim Assad) di Asia Barat. Ini membuktikan peperangan tersebut adalah terdiri daripada agen Barat dan agen Israel iaitu rejim Bashar al-Assad di satu pihak yang mahu mengekalkan status quo di Syria, iaitu terus menjadikan Syria diperintah oleh kerajaan yang dapat melindungi Israel. Semasa bukit Golan jatuh dikuasai oleh Israel di dalam peperangan Teluk tahun 1960an, rejim Syria tidak pernah menyerang Israel untuk mendapatkan balik bukit Golan. Inikan pula rejim menyerang penduduk awam dan pemberontak dengan segala macam persenjataan termasuklah senjata kimia, peluru Scud dan pesawat pengebom. Dan Bashar al-Assad banyak dibantu oleh negara musuh Islam seperti Rusia untuk mengekalkan kekuasaanya di Syria. Di satu pihak pula terdiri daripada pemberontak yang kebanyakannya mahu mendirikan semula Daulah Islamiyyah. Maka pertarungan di Syria adalah pertarungan di antara Islam melawan kufur, dan bukan pertarungan di antara Sunni dan Syiah. Ianya sama juga dengan peperangan Irak-Iran yang berlangsung selama 8 tahun dari 1980-1988, bukan merupakan peperangan diantara Sunni menentang Syiah, sebab di Irak juga terdiri daripada sebahagian besarnya penduduk Syiah. Perang tersebut adalah peperangan diantara pemimpin boneka Barat iaitu rejim Saddam Hussein menentang sebuah negara (Iran) yang telah menjatuhkan boneka Barat yang lain iaitu Shah Mohammad Reza Pahlavi. Sekiranya pandangan mengatakan bahawa peperangan Irak-Iran yang berlangsung selama 8 tahun dari 1980-1988 adalah perang di antara Sunni dan Syiah, maka pada pandangan Sunni, Saddam Hussein adalah pemimpin yang baik kerana berjuang menentang Syiah Iran. Padahal Saddam adalah agen dan boneka Barat yang telah memenjarakan, menyiksa dan membunuh ramai orang termasuk golongan ulama dari golongan Sunni juga, yang mahu mendirikan semula Daulah Islamiyyah.

2). Sokongan yang diberikan oleh Amerika Syarikat (AS), negara anggota NATO dan Turki terhadap pemberontak adalah bertujuan supaya pemberontak mendirikan negara demokrasi untuk menggantikan rejim Bashar Assad apabila rejim tersebut tumbang. Telah diadakan beberapa bentuk pakatan seperti Syrian National Council dan Council of Syrian Revolutionaries yang dikatakan mewakili penduduk Syria, tetapi ditolak oleh para pemberontak Syria dan penduduk Syria secara umumnya. Oleh itu Barat tidak melakukan campurtangan ketenteraan secara terang-terangan di Syria sebagaimana di Libya, kerana khuathir bahawa pemberontak akan menang dengan mudah dan mendirikan semula Daulah Islamiyyah. Keadaan ini berbeza dari keadaan di Libya di mana NATO melakukan pengeboman terhadap kedudukan Gaddafi untuk memudahkan para pemberontak menumbangkan rejim Gaddafi, sebab Barat mengetahui bahawa agenda pemberontak adalah mahu menumbangkan rejim Gaddafi dan membentuk sebuah kerajaan demokratik dan bukan mendirikan semula Daulah Islamiyyah.

3). Campurtangan Hizbollah ke dalam peperangan di Syria adalah disebabkan oleh rejim Assad telah banyak membantu gerakan Hizbollah Lebanon secara persenjataan menentang Israel. Hizbollah pernah berperang mengalahkan Israel di dalam perang selama 33 hari pada tahun 2006, dan Hizbollah adalah musuh utama kepada Israel selain daripada Hamas. Maka bagaimanakah reaksi Hizbollah sekiranya mereka mengetahui bahawa Bashar al-Assad adalah sekutu kuat Israel, dan para pemberontak yang mahu menumbangkan rejim Assad adalah juga mahu memusnahkan Israel? Di sini tidak mencukupi untuk umat Islam untuk mengangkat senjata dan hanya berperang, tanpa mengetahui latar-belakang puak pemberontak dan rejim Bashar al-Assad. Sekiranya Hizbollah mempunyai cita-cita mahu memusnahkan Israel dari peta dunia, kenapa mereka tidak membiarkan rejim Assad tumpas, dan didirikan Daulah Islamiyyah di Syria, supaya Hizbollah boleh bergabung dengan gerakan mujahideen lain di Syria dan selepas itu boleh bergerak untuk memerangi Israel. Inilah akibatnya kedangkalan pemikiran politik dikalangan umat Islam sekarang, sehinggakan mereka senang dipergunakan oleh rejim Assad untuk menyelamatkan rejim tersebut dan juga Israel. Maka ini juga menunjukkan bahawa umat Islam memerlukan sebuah Daulah Islamiyyah di mana jihad berperang menentang penjajahan musuh ke atas tanah umat Islam bukan hanya dilakukan oleh ketenteraan, tetapi juga terdapat Jabatan khas yang akan mengkaji secara mendalam tentang politik luar negara tentang gerakan-gerakan yang manakah yang boleh disokong dan tidak ditolong di dalam sesuatu konflik. Kesemua negara-negara lain yang berpengaruh seperti AS, Rusia, Britain, Israel, Turki dan Iran di rantau tersebut masing-masing mempunyai Jabatan khas yang mengkaji politik dan hubungan luar negara sebelum melakukan sesuatu tindakan ketenteraan.

Wa Allahu A’lam,

Rujukan:
[1] http://www.foreignaffairs.com/articles/139373/efraim-halevy/israels-man-in-damascus/

Sunday, April 21, 2013

Sistem ekonomi yang mampan dan boleh menjamin keperluan rakyat



Rakyat Malaysia dibebankan oleh kos kehidupan yang semakin meningkat. Setiap pilihanraya umum, rakyat akan bertanya kepada parti yang akan bertanding sama ada parti pembangkang ataupun parti pemerintah, apakah kerajaan baru yang dilantik akan dapat mengurangkan beban rakyat. Ini adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian yang serius, sebab fenomena penderitaan hidup dan keperitan yang rakyat mengalami selama bertahun tahun telah menumbangkan banyak kerajaan-kerajaan di kawasan Timur Tengah seperti Tunisia dan Mesir. Dan apakah perkara yang sama akan berulang di negara ini?

Kita tahu bahawa negara ini mempunyai makanan yang mencukupi, tidak ada orang kebuluran di merata tempat. Dan juga kadar pengganguran adalah lebih rendah di kebanyakan tempat di Asia Tenggara. Tetapi itu sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kehidupan rakyat. Bagaimana pula dengan kos makanan, yuran pengajian sekolah dan universiti, harga rumah tempat kediaman, kos utiliti seperti letrik dan air dan kos pengangkutan? Sebagai contohnya, harga rumah di Lembah Kelang telah meningkat kira-kira 4-5 kali ganda jika dibandingkan 10 tahun dahulu. Rakyat juga mahukan jawapan kenapa orang-orang tertentu yang mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan (kroni kerajaan) akan mudah menjana harta kekayaan dengan cara-cara yang tidak diketahui oleh rakyat dan tidak telus. Dan akibatnya harta kekayaan yang sepatutnya diagihkan kepada rakyat telah berputar di kalangan golongan tertentu di dalam negara. Dan perkara ini telah dilarang oleh Allah (SWT) di dalam al-Quran:

“Dan janganlah harta kekayaan berputar di antara golongan kaya di antara kamu” [TMQ: al-Hashr, 7].

Rakyat sesebuah negara, bukan sahaja umat Islam mempunyai hak ke atas tempat tinggal. Maka tidak mencukupi untuk negara membuat rumah kos rendah dan menyewanya kepada rakyat bagi yang tidak mampu membeli rumah, walaupun dengan harga rendah. Ini disebabkan memiliki rumah adalah sebahagian daripada keperluan asas individu dan bukan sahaja umat Islam.

Uthman ibn Affan telah melapurkan bahawa Rasulullah (SAW) bersabda bahawa, “Tidak ada hak kepada setiap anak Adam, selain daripada tiga perkara iaitu, rumah sebagai tempat tinggal, pakaian, dan makanan minuman”. [Sunan At-Tirmidhi, No. 2341].

Hadis daripada Uthman Affan mengatakan anak Adam, dan tidak mengkhususkannya kepada umat Islam. Sekiranya rakyat yang tidak mampu membeli rumah dan mereka ditawarkan menyewa rumah, maka rumah tersebut masih belum dimiliki oleh orang yang menyewanya, dan negara mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal yang dmiliki oleh rakyat yang kurang keupayaan untuk memiliki rumah, dan bukannya menyewakan rumah kepada rakyat yang kurang keupayaan untuk memiliki rumah.

Sama ada parti pembangkang dan parti pemerintah yang memerintah, masalah yang melanda rakyat tidak dapat diubah selama sistem Kapitalis yang meletakkan manusia sebagai penggubal undang-undang, masih menjadi sistem yang mengaturkan kehidupan manusia di dalam negara.

Dan kenapakah setengah-tengah barangan dan perkhidmatan yang sepatutnya menjadi milik rakyat tetapi telah menjadi monopoli syarikat-syarikat yang telah diwujudkan oleh pihak kerajaan ataupun swasta, seperti minyak petrol, siaran TV satelit, air dan elektrik, sehinggakan mereka boleh meletakkan harga ke atas rakyat dengan sewenang-wenangnya mengikut sesuka hati mereka, sedangkan Rasulullah (SAW) telah bersabda melarang daripada perbuatan monopoli: “Sesiapa yang terlibat dalam meletakkan harga ke atas umat Islam, untuk menaik harga tersebut terhadap umat Islam, maka Allah akan membakarnya di dalam neraka di Hari Akhirat.

Dan bukankah hadis Rasulullah (SAW), daripada Abbas berkata bahawa Rasullah (SAW) bersabda, “Umat Islam adalah sekutu di dalam 3 perkara: air, padang rumput dan api”. Dan dari Ibnu Majah berkata bahawa Abu Hurairah yakni Rasulullah (SAW) bersabda, “3 perkara yang tidak dihalang daripada umat Islam, iaitu air, padang rumput dan api”.

Ini jelas menunjukkan bahawa kesemuanya iaitu air, padang rumput dan api adalah dimiliki oleh umat Islam keseluruhannya dan bukannya syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Petronas, TNB dan Telekom ataupun mana-mana syarikat swasta seperti Sime Darby dan sebagainya. Syarikat-syarikat tersebut hanya boleh menjadi pengelola terhadap kekayaan umat Islam. Contohnya minyak petrol di negara bukan milik Petronas, tetapi adalah dimiliki oleh umat Islam seluruh dunia, tetapi Petronas hanya dibayar wang disebabkan merekalah yang memproses minyak mentah tersebut menjadi minyak yang boleh digunakan oleh umat Islam, tetapi minyak mentah bukan milik Petronas tetapi adalah menjadi milik umat Islam, maka manfaatnya haruslah kembali kepada umat Islam, dan Petronas tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya terhadap minyak yang telah diproses oleh mereka, sebab minyak tersebut bukan milik mereka. Begitu juga kepada mana-mana syarikat yang mengusahakan api, yang boleh dikiaskan kepada tenaga elektrik, maka sama halnya seperti syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Api adalah perkara yang ketiga di mana ianya adalah milik umat Islam keseluruhannya. Ianya juga termasuk hasil galian lain yang dikeluarkan daripada bumi atau laut. At-Tirmidhi meriwayatkan daripada Abyadh ibnu Hammal bahawa beliau datang kepada Rasulullah (SAW) untuk meminta suatu tanah yang mempunyai garam mineral dan beliau (SAW) memberikannya. Dan apabila beliau meninggalkan tempat tersebut, seorang lelaki yang berada kerkata kepada beliau (SAW), “Tahukah apakah yang anda telah berikan kepadanya? Kamu telah memberikan kepadanya galian yang sangat banyak (al-udd)”. Beliau (SAW) kemudiannya mengambil balik tanah garam tersebut. Ini bermakna sekiranya terdapat garam galian seperti bijih besi, tembaga dan lain-lain sumber galian daripada bumi dan laut yang sangat banyak, maka ianya adalah milik umat dan bukannya milik individu atau syarikat persendirian. Cumanya untuk memproses sumber tersebut kepada bentuk yang boleh dijual, maka syarikat boleh dibayar untuk memproseskannya, tetapi syarikat tersebut tidak memiliki sumber galian tersebut. Dan hasil jualan sumber mineral yang telah diproses seperti jongkong besi, tembaga, garam bukit adalah dikembalikan kepada umat untuk manfaat umat sendiri.

Wa Allahu a’lam.

Monday, March 11, 2013

Inflasi adalah parah di dalam sistem Kapitalis



Inflasi adalah parah di dalam sistem Kapitalis


Lapuran daripada Lloyds TSM Private Banking mengatakan bahawa harga sebuku roti telah bertambah daripada 37 pence kepada 1.24 pound British (GBP), manakala harga 100 g kopi telah naik 176% daripada 0.97 GBP kepada GBP 2.68. Dan harga rumah telah menyaksikan kenaikan yang paling besar iaitu sebanyak enam kali ganda , sementara harga emas satu Troy ounce menyaksikan kenaikan sebanyak 439%, kesemuanya berlaku pada jangka masa 30 tahun, dari 1982 sehingga sekarang. Ini bermakna bahawa di dalam jangkamasa selama 30 tahun, GBP telah mengalami penurunan sebanyak dua pertiga, atau bermakna sekarang GBP mempunyai hanya 33% kuasa membeli jika dibandingkan dengan 30 tahun dahulu. Llyods TSB juga menjangkakan bahawa GBP 100 masa sekarang akan mempunyai nilai yang sama seperti GBP 229 dalam masa 30 tahun yang akan datang [1].

Sandaran kepada emas telah ditamatkan pada tahun 1971 apabila berakhirnya perjanjian Bretton Woods pada tahun 1971. Dari tahun 1945 sehingga 1971, 1 Troy ounce emas (bersamaan dengan 31.1 gram emas) boleh ditukarkan dengan US dollar (USD) 35, dan USD adalah bersandarkan kepada emas pada masa itu, sebelum 1971. Pada tahun 1971, US telah memansuhkan sandaran USD kepada emas maka USD telah menjadi fiat currency atau matawang yang tidak disandarkan kepada emas. Dan selepas 1971, banyak di kalangan matawang negara-negara lain di dunia telah menjadi floating currency (matawang yang tidak disandarkan kepada USD dan juga emas), atau matawang yang nilainya bergantung kepada turun-naik harga jual-beli di Foreign Exchange market (Forex) atau pasaran matawang. Ada juga matawang beberapa negara yang kadarnya diikat oleh USD, tetapi bukan kepada emas. Ini telah menjadikan matawang terutamanya floating currency yang nilainya bergantung kepada jual-beli di Forex terdedah kepada serangan oleh penyangak matawang (currency speculators), sebagaimana yang berlaku kepada negara-negara Asia Tenggara dan juga Timur Jauh seperti Korea dan Jepun. Ini menyebabkan Malaysia telah mengikat kadar Ringgit menjadi 3.80 kepada 1 USD untuk mengurangkan penurunan nilai Ringgit di pasaran antarabangsa. Juga Argentina yang mengalami krisis matawang pada tahun 1999-2002, telah berbuat langkah yang sama, mengikat matawang peso menjadi tetap untuk mengurangkan penurunan nilai matawang tersebut.

Ahli ekonomi, walaupun tidak kesemuanya, masing-masing bersetuju bahawa kadar inflasi termasuk inflasi tegar (hyperinflation) adalah disebabkan oleh kadar pertambahan matawang untuk mengimbangi kadar pertambahan ekonomi. Apabila kadar permintaan terhadap sesuatu barangan bertambah, maka harga barangan tersebut juga bertambah. Jadi bank pusat akan mencetak lebih banyak matawang untuk mengimbangi kenaikan harga, dan bank pusat boleh berbuat demikian sekiranya matawang tidak bersandarkan emas. Tetapi dengan berbuat demikian, maka setiap unit matawang yang dicetak akan mengalami kekurangan nilai, atau kuasa membeli setiap matawang akan berkurangan, yakni setiap unit matawang boleh membeli quantiti barangan yang semakin kurang. Jadi inflasi juga bermakna kadar pertambahan matawang yang lebih besar jika dibandingkan dengan kadar pertumbuhan ekonomi. Secara kasarnya, ahli ekonomi merujuk inflasi sebagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, walaupun ianya juga dikenali sebagai penurunan nilai matawang. Sekiranya matawang negara adalah bersandarkan kepada emas, walaupun terdapat kenaikan permintaan terhadap barangan, bank pusat tidak boleh mencetak tambahan matawang, sebab pertambahan matawang tersebut akan menjadikan sebahagian daripada jumlah matawang adalah tidak bersandarkan kepada emas. Bank pusat hanya boleh mencetak tambahan matawang sekiranya bank pusat telah mendapat tambahan di dalam stok simpanan emas, dan jumlah setiap unit matawang yang dicetak mestilah sama nilainya dengan jumlah emas yang baru di dalam stok simpanan bank pusat.

Permintan terhadap barangan bertambah → kenaikan harga barangan → Bank pusat mencetak matawang lebih → Inflasi bertambah → krisis ekonomi, kadar pengganguran tinggi, revolusi.

Maka ini adalah kesan domino inflasi

Emas adalah suatu logam yang jumlahnya adalah tetap di mukabumi, dan bukan seperti mawatang kertas yang boleh dicetak sewenang-wenangnya oleh bank pusat. Emas baru tidak boleh diciptakan oleh ahli sains daripada bahan lain seperti besi, tembaga dan lain-lain. Sekiranya permintaan terhadap sesuatu barangan bertambah, maka ia juga akan menyebabkan permintaan terhadap emas juga bertambah. Atau dengan lain perkataan satu unit emas akan mempunyai nilai bertambah daripada dulunya, dan satu unit emas akan mempunyai kuasa membeli yang bertambah dari dulunya. Itulah sebabnya harga rumah boleh naik enam kali ganda, tetapi harga emas juga naik 440% [1]. Walaupun banyak kekayaan telah dijanakan sekarang berbanding dengan 30 tahun lepas, tetapi kos kehidupan masih bertambah dan kuasa membeli wang kertas menjadi semakin kurang.

Menurut Lawrence H. White, seorang Profesor Sejarah Ekonomi, sistem ekonomi yang bersandarkan kepada emas jarang-jarang mengalami inflasi melebihi 2% setahun [2].

Dan Peter Bernholz [3], berkata bahawa kadar inflasi yang sangat besar telah berlaku pada kurun ke-20, di negara-negara di mana sandaran kepada wang logam (emas) telah ditamatkan.

Di dalam Daulah Islamiyyah, sistem matawang adalah bersandarkan kepada dinar dan dirham (emas dan perak), di mana 1 dinar adalah bersamaan dengan 4.25 gram emas, dan 1 dirham adalah bersamaan dengan 2.975 gram perak.

Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda akan tiba satu zaman dimana tiada apa yang tinggal dan boleh digunakan oleh umat manusia maka simpanlah dinar dan dirham (yakni emas dan perak). Musnad Imam Ahmad ibn Hanbal

Wa Allahu A’lam.

Rujukan:


[3] Bernholz, Peter. Monetary Regimes and Inflation. Cheltenham, U.K.: Edward Elgar, 2003.

 

Sunday, February 10, 2013

Cukup makanan untuk penduduk dunia

Cukup makanan untuk penduduk dunia



Obesiti atau berat badan berlebihan bukan lagi masalah individu. Sebaliknya telah menjadi wabak di peringkat global apabila diramalkan lebih daripada separuh penduduk dewasa di dunia mengalaminya dalam tempoh dua dekad akan datang. Pendedahan terbaru oleh kumpulan pakar dalam bidang kesihatan, nutrisi dan kecergasan mendorong isu itu turut di bincangkan ketika Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru ini. Kumpulan pakar tersebut mengesa agar langkah-langkah segera diambil, bukan hanya sekadar menyalahkan individu-individu terbabit yang tidak bersungguh-sungguh untuk menangani masalah ini. Mereka berkata, krisis obesiti yang semakin meningkat dan membawa maut perlu ditangani dengan kesungguhan di peringkat pembuat dasar sebagaimana mereka memerangi gejala merokok selama ini. Dengan keadaan makanan yang semakin hari semakin tidak sihat serta gaya hidup bersenang-senang (sedentary) yang semakin meningkat, jawapan segera perlu dicari bagi krisis yang telah membawa kepada peningkatan kes diabetes dan serangan jantung. Krisis obesiti sendiri telah membunuh 2.8 juta orang dewasa setiap tahun. Dekan School of Public Health di Universiti Columbia Amerika Syarikat, Linda Fried, berkata, perangkaan terbaru menunjukkan 1.4 bilion individu dewasa di seluruh dunia mengalami berat badan berlebihan. "Jumlah itu dijangka meningkat dari setahun ke setahun dan dalam tempoh 20 tahun lagi jika terus meningkat seperti corak sekarang, kemungkinan besar 50-60 peratus penduduk dewasa dunia adalah individu yang berat badannya berlebihan [1].

Sebaliknya, terdapat kira-kira satu billion penduduk dunia yang masih kebuluran menurut suatu kajian yang dikeluarkan oleh majalah Scientific American [2]. Di antara faktor yang menyebabkan kebuluran atau kekurangan makanan menurut suatu kajian yang dibuat oleh World Hunger, mengatakan bahawa sistem ekonomi yang rosak dan kemiskinan adalah faktor penyumbang terbesar yang menyebabkan kebuluran [3]. Sementara Eric Holtz melapurkan di dalam Huffington Post, dengan merujuk kepada suatu kajian yang telah dibuat oleh pakar-pakar daripada McGill University dan University of Minnesota yang diterbitkan di dalam jurnal Nature bahawa dunia sebenarnya mempunyai cukup makanan untuk 10 billion penduduk [4]. Pertubuhan Oxfam di Canada pula membuat kajian bahawa dunia telah mengeluarkan pertambahan purata makanan sebanyak 17% setiap penduduk dunia jika dibandingkan 30 tahun lalu, tetapi masih terdapat 1 billion penduduk yang kekurangan makanan. Kesemua hasil kajian ini menunjukkan bahawa teori Malthusian yang diasaskan oleh seorang ekonomi bernama Thomas Malthus dari Britain pada kurun ke-18 dalam bukunya yang bertajuk “An essay on the principle of population” sebenarnya salah. Kajian tersebut mengatakan bahawa pengeluaran makanan dunia tidak dapat ditampung oleh pertumbuhan populasi penduduk dunia pada suatu masa yang akan datang.

Dunia menempah kemajuan yang sangat maju di dalam sains dan teknologi, sehinggakan jumlah makanan yang dikeluarkan sebenarnya boleh menampung jumlah penduduk dunia yang bertambah. Tetapi pertambahan produksi makanan sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak ada suatu sistem yang menguruskan pengagihan makanan kepada seluruh penduduk dunia dengan cekap. Sistem ekonomi Kapitalis telah terbukti tidak dapat menyelesaikan masalah distribusi makanan kepada penduduk dunia. Di dalam sistem ekonomi Kapitalis, faktor harga dengan permintaan-keberadaan (supply-demand) adalah yang menentukan distribusi barangan ke seluruh penduduk. Sekiranya permintaan melebihi keberadaan (demand exceed supply) barangan tersebut, maka harga akan naik. Dan juga sekiranya sebaliknya berlaku iaitu keberadaan melebihi permintaan (supply exceeds demand) maka harga akan jatuh. Itulah sebabnya setengah-tengah peniaga suka menyorok barangan dan menjualnya dengan harga tinggi, apabila permintaan terhadap barangan itu menjadi tinggi, sebab akan mendatangkan keuntungan lumayan. Dan juga sekiranya apabila keberadaan melebihi permintaan sehinggakan terdapat longgokan lebihan barangan tersebut akan menyebabkan harga barangan itu jatuh, maka para peniaga akan memusnahkan barangan tersebut supaya permintaan kembali tinggi hanya semata-mata untuk menaikkan semula harga barangan supaya mereka boleh memperolehi untung, tanpa mengira terdapat penduduk kebuluran di tempat lain dunia ini. Pernah suatu ketika terdapat sejumlah penduduk di Afrika yang mengalami kebuluran, sementara pengeluar gandum di Amerika Syarikat terpaksa menusnahkan stok gandum mereka disebabkan terdapat penurunan harga gandum di AS pada masa itu. Juga setengah-tengah pengeluaran barangan adalah dimonopoli sepenuhnya oleh setengah-tengah syarikat gergasi dunia ini sehingga merekalah yang mempunyai kuasa untuk menetapkan harga barangan tersebut. Sekiranya terdapat pesaing yang berupaya memberikan produk yang mempunyai kualiti yang hampir sama, maka syarikat gergasi terpaksa menurunkan harga mereka dan tidak dapat menetapkan harga sewenang-wenangnya. 

Inilah keburukan sistem Kapitalis yang tidak berupaya menghasilkan sistem pengagihan yang cekap untuk mengagihkan barangan kepada seluruh penduduk dunia yang memerlukannya. Disebabkan sistem Kapitalis yang hanya mengutamakan keuntungan material tanpa mengira faktor kemanusiaan (humanitarian), maka kerosakan demi kerosakan telah dihasilkan oleh sistem ini yang memerlukan sistem ekonomi Islam untuk menjadi penyelesaian kepada keperluan ekonomi manusia. Kami tidaklah dapat menghuraikan dengan terperinci di sini bagaimana sistem ekonomi Islam dapat menyelesaikan maslaah ekonomi manusia, tetapi para pembaca boleh merujuk kepada buku karangan Sheikh Taqiuddin an-Nabahani yang bertajuk an-Nidzam al-Iqtisadi fil Islam atau bermaksud Sistem Ekonomi Islam sebagai bacaan lanjut.

Wa Allahu A’lam.

Rujukan (diakses pada 9 Feb 2013):