Sunday, April 21, 2013

Sistem ekonomi yang mampan dan boleh menjamin keperluan rakyat



Rakyat Malaysia dibebankan oleh kos kehidupan yang semakin meningkat. Setiap pilihanraya umum, rakyat akan bertanya kepada parti yang akan bertanding sama ada parti pembangkang ataupun parti pemerintah, apakah kerajaan baru yang dilantik akan dapat mengurangkan beban rakyat. Ini adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian yang serius, sebab fenomena penderitaan hidup dan keperitan yang rakyat mengalami selama bertahun tahun telah menumbangkan banyak kerajaan-kerajaan di kawasan Timur Tengah seperti Tunisia dan Mesir. Dan apakah perkara yang sama akan berulang di negara ini?

Kita tahu bahawa negara ini mempunyai makanan yang mencukupi, tidak ada orang kebuluran di merata tempat. Dan juga kadar pengganguran adalah lebih rendah di kebanyakan tempat di Asia Tenggara. Tetapi itu sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kehidupan rakyat. Bagaimana pula dengan kos makanan, yuran pengajian sekolah dan universiti, harga rumah tempat kediaman, kos utiliti seperti letrik dan air dan kos pengangkutan? Sebagai contohnya, harga rumah di Lembah Kelang telah meningkat kira-kira 4-5 kali ganda jika dibandingkan 10 tahun dahulu. Rakyat juga mahukan jawapan kenapa orang-orang tertentu yang mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan (kroni kerajaan) akan mudah menjana harta kekayaan dengan cara-cara yang tidak diketahui oleh rakyat dan tidak telus. Dan akibatnya harta kekayaan yang sepatutnya diagihkan kepada rakyat telah berputar di kalangan golongan tertentu di dalam negara. Dan perkara ini telah dilarang oleh Allah (SWT) di dalam al-Quran:

“Dan janganlah harta kekayaan berputar di antara golongan kaya di antara kamu” [TMQ: al-Hashr, 7].

Rakyat sesebuah negara, bukan sahaja umat Islam mempunyai hak ke atas tempat tinggal. Maka tidak mencukupi untuk negara membuat rumah kos rendah dan menyewanya kepada rakyat bagi yang tidak mampu membeli rumah, walaupun dengan harga rendah. Ini disebabkan memiliki rumah adalah sebahagian daripada keperluan asas individu dan bukan sahaja umat Islam.

Uthman ibn Affan telah melapurkan bahawa Rasulullah (SAW) bersabda bahawa, “Tidak ada hak kepada setiap anak Adam, selain daripada tiga perkara iaitu, rumah sebagai tempat tinggal, pakaian, dan makanan minuman”. [Sunan At-Tirmidhi, No. 2341].

Hadis daripada Uthman Affan mengatakan anak Adam, dan tidak mengkhususkannya kepada umat Islam. Sekiranya rakyat yang tidak mampu membeli rumah dan mereka ditawarkan menyewa rumah, maka rumah tersebut masih belum dimiliki oleh orang yang menyewanya, dan negara mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal yang dmiliki oleh rakyat yang kurang keupayaan untuk memiliki rumah, dan bukannya menyewakan rumah kepada rakyat yang kurang keupayaan untuk memiliki rumah.

Sama ada parti pembangkang dan parti pemerintah yang memerintah, masalah yang melanda rakyat tidak dapat diubah selama sistem Kapitalis yang meletakkan manusia sebagai penggubal undang-undang, masih menjadi sistem yang mengaturkan kehidupan manusia di dalam negara.

Dan kenapakah setengah-tengah barangan dan perkhidmatan yang sepatutnya menjadi milik rakyat tetapi telah menjadi monopoli syarikat-syarikat yang telah diwujudkan oleh pihak kerajaan ataupun swasta, seperti minyak petrol, siaran TV satelit, air dan elektrik, sehinggakan mereka boleh meletakkan harga ke atas rakyat dengan sewenang-wenangnya mengikut sesuka hati mereka, sedangkan Rasulullah (SAW) telah bersabda melarang daripada perbuatan monopoli: “Sesiapa yang terlibat dalam meletakkan harga ke atas umat Islam, untuk menaik harga tersebut terhadap umat Islam, maka Allah akan membakarnya di dalam neraka di Hari Akhirat.

Dan bukankah hadis Rasulullah (SAW), daripada Abbas berkata bahawa Rasullah (SAW) bersabda, “Umat Islam adalah sekutu di dalam 3 perkara: air, padang rumput dan api”. Dan dari Ibnu Majah berkata bahawa Abu Hurairah yakni Rasulullah (SAW) bersabda, “3 perkara yang tidak dihalang daripada umat Islam, iaitu air, padang rumput dan api”.

Ini jelas menunjukkan bahawa kesemuanya iaitu air, padang rumput dan api adalah dimiliki oleh umat Islam keseluruhannya dan bukannya syarikat-syarikat milik kerajaan seperti Petronas, TNB dan Telekom ataupun mana-mana syarikat swasta seperti Sime Darby dan sebagainya. Syarikat-syarikat tersebut hanya boleh menjadi pengelola terhadap kekayaan umat Islam. Contohnya minyak petrol di negara bukan milik Petronas, tetapi adalah dimiliki oleh umat Islam seluruh dunia, tetapi Petronas hanya dibayar wang disebabkan merekalah yang memproses minyak mentah tersebut menjadi minyak yang boleh digunakan oleh umat Islam, tetapi minyak mentah bukan milik Petronas tetapi adalah menjadi milik umat Islam, maka manfaatnya haruslah kembali kepada umat Islam, dan Petronas tidak boleh meletakkan harga sewenang-wenangnya terhadap minyak yang telah diproses oleh mereka, sebab minyak tersebut bukan milik mereka. Begitu juga kepada mana-mana syarikat yang mengusahakan api, yang boleh dikiaskan kepada tenaga elektrik, maka sama halnya seperti syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Api adalah perkara yang ketiga di mana ianya adalah milik umat Islam keseluruhannya. Ianya juga termasuk hasil galian lain yang dikeluarkan daripada bumi atau laut. At-Tirmidhi meriwayatkan daripada Abyadh ibnu Hammal bahawa beliau datang kepada Rasulullah (SAW) untuk meminta suatu tanah yang mempunyai garam mineral dan beliau (SAW) memberikannya. Dan apabila beliau meninggalkan tempat tersebut, seorang lelaki yang berada kerkata kepada beliau (SAW), “Tahukah apakah yang anda telah berikan kepadanya? Kamu telah memberikan kepadanya galian yang sangat banyak (al-udd)”. Beliau (SAW) kemudiannya mengambil balik tanah garam tersebut. Ini bermakna sekiranya terdapat garam galian seperti bijih besi, tembaga dan lain-lain sumber galian daripada bumi dan laut yang sangat banyak, maka ianya adalah milik umat dan bukannya milik individu atau syarikat persendirian. Cumanya untuk memproses sumber tersebut kepada bentuk yang boleh dijual, maka syarikat boleh dibayar untuk memproseskannya, tetapi syarikat tersebut tidak memiliki sumber galian tersebut. Dan hasil jualan sumber mineral yang telah diproses seperti jongkong besi, tembaga, garam bukit adalah dikembalikan kepada umat untuk manfaat umat sendiri.

Wa Allahu a’lam.