Thursday, January 10, 2013

Tidak terdapat pembahagian ilmu kepada ilmu Islam dan ilmu sekular




Tidak terdapat pembahagian ilmu kepada ilmu Islam dan ilmu sekular

Di dalam radio IKIM, terdapat suatu ketika seorang ustaz membahaskan tentang pembahagian ilmu, dan beliau berkata bahawa ilmu bolehlah dibahagikan kepada ilmu sekular dan ilmu Islam. Inilah adalah pemahaman yang sebenarnya tidak tepat dan salah. Ianya dapat dihuraikan oleh di bawah:

Istilah sekular berasal daripada zaman kebangkitan Eropah, apabila para ilmuan, alhi falsafah mahu membebaskan Eropah pada masa itu daripada kuasa pihak gereja yang pada pendapat mereka mengakibatkan penduduk di Eropah berada di zaman gelap dan jumud. Maka terjadilah peperangan dan revolusi di antara pihak yang mahukan perubahan dan pihak gereja. Apabila pihak gereja yang menjadi pemerintah telah kalah, maka ahli politik, ahli fahsafah dan pemikir pada masa itu menciptakan suatu pemikiran asas yang baru, iaitu secularism. KEsemua idea-idea baru yang manusia buat adalah berasaskan kepada idea asas ini iaitu secularism. Idea sekular tersebut membawa pengertian bahawa kehidupan manusia di dalam masyarakat, di dalam negara, perhubungan manusia di dalam satu negara dengan negara lain dipandukan oleh sistem yang diwujudkan oleh manusia sendiri, dan tidak dipandukan oleh agama. Sekiranya manusia menganut sesuatu agama tidak kira Islam, Kristian, Judasim atau lain-lain, maka agama tersebut hanyalah mengaturkan perhubungan manusia itu dengan apa yang dia sembah atau  tuhan kepada manusia itu sendiri. Maka agama menurut mereka adalah tidak lebih daripada suatu ritual atau ibadat di antara manusia dengan tuhan yang dia sembah. Menurut mereka, segala kehidupan manusia yang bukan bersifat ibadat (ritualistic, seperti solat, puasa dan zakat) adalah dipandukan oleh akal manusia sendiri. Oleh itu bagaimana manusia berniaga (ekonomi), mengaturkan pergaulan lelaki dan perempuan (sosial), mengaturkan sistem yang menghukum penjenayah, sistem peradilan, mengaturkan sistem yang mengaturkan perhubungan negara tersebut dengan negara lain semuanya adalah tidak dipandukan oleh agama, tetapi manusia diberikan kuasa mutlak bagaimana hendak mengaturkannya. Tetapi cara mengaturkan hubungan manusia dengan tuhan yang mereka sembah iaitu bagaimana manusia hendak menunaikan solat, puasa, zakat dan lain lain ibadat bolehlah dirujuk kepada agama masing-masing.

Ilmu tidak sama dengan sistem hidup yang mengaturkan kehidupan manusia, walaupun di dalam mengaturkan sistem kehidupan di dalam masyarakat memerlukan ilmu. Sistem kehidupan boleh dikelaskan kepada sistem sekular dan bukan sekular (berasal dari wahyu, seperti Quran dan Sunnah Rasulullah). Sistem sekular adalah sistem yang diciptakan oleh manusia sendiri untuk mengaturkan kehidupan manusia itu dalam masyarakat. Maka manusia menciptakan sistem pendidikan, sistem peradilan, sistem menghukum penjenayah, sistem sosial, sistem ekonomi sendiri tanpa merujuk kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya dan sunnah RasulNya. Ada juga sistem kehidupan yang berasal dari wahyu Allah, menerusi Quran dan Sunnah Rasulullah yang memberikan panduan bagaimana manusia mengaturkan kehidupan di dalam masyarakat.

Sementara ilmu adalah apa yang dimiliki oleh Allah. Manusia boleh menciptakan sistem kehidupannya sendiri daripada akalnya yang cetek, tetapi manusia tidak boleh menciptakan ilmunya sendiri, sebab kesemua ilmu adalah milik Allah. Ilmu adalah kefahaman tentang sesuatu pekara. Apabila Allah (SWT) menciptakan Nabi Adam sebagai manusia pertama di dunia ini untuk menjadi Khalifah di muka bumi ini, manusia dibekalkan dengan ilmu yang amat sedikit, sepertimana firman Allah (SWT):

Dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan kecuali sedikit (Al-Isra: 85)

Tetapi ilmu juga ada yang diharamkan manusia untuk mempelajarinya, seperti ilmu sihir, yang memuja makhluk halus untuk menjadikan makhluk tersebut melakukan sesuatu kejahatan dan sebagainya.

"Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-setan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya setan-setan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan istrinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahwa barang siapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.. (al-Baqarah: 102)

Ilmu boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu ilmu yang diwahyukan oleh Allah kepada para Nabi dan RasulNya, yang mana di dalamnya terdapat petunjuk dan diturunkan kepada manusia untuk mempelajarinya dan mengamalkannya. Dan keduanya ilmu yang berkenaan dengan alam semesta ini.

Ilmu jenis pertama adalah ilmu yang terkandung di dalam kitab-kitab Allah yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasul-RasulNya. Di dalam Quran, bukan sahaja terdapat perintah dan larangan, juga terdapat ilmu tentang sifat-sifat orang-orang kafir, munafik, mukmin dan sebagainya. Iaitu Quran memberikan kita kefahaman mengenai sifat-sifat orang tersebut. Dan di dalam Quran juga memberikan kita tentang ilmu tentang alam Akhirat, tentang Syurga dan Neraka, iaitu kefahaman tentang Syurga dan Neraka dan jenis-jenis manusia yang akan masuk ke dalamnya. Apa yang dikatakan oleh Rasulullah (SAW) juga adalah wahyu dan bukan berasal dari hawa nafsu beliau (SAW) sendiri, sepertimana Rasulullah (SAW) menyuruh para sahabatnya untuk menunaikan solat sebagaimana mereka melihat beliau (SAW) bersolat. Maka secara tidak langsung beliau (SAW) menyampaikan ilmu (kefahaman) bagaimana untuk menunaikan solat kepada para sahabatnya. Daripada apa yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah (SAW) menerusi Quran dan sunnah RasulNya, maka berkembanglah ilmu-ilmu berkaitan dengannya seperti ilmu fiqh, tafsir, hadis, perundangan (Syari’ah) dan sebagainya.

Sementara ilmu jenis kedua adalah tentang alam semesta ini. Alam semesta ini mempunyai hukum-hukumnya yang tersendiri. Apabila manusia mengkaji alam semesta ini dan membuat penemuan-penemuan baru, maka secara tidak langsung manusia sudah menemui (discover) ilmu tentang perkara tersebut. Manusia tidak menciptakan ilmunya, tetapi manusia hanya menemui ilmu, sebab apabila alam semesta ini tercipta oleh Allah, maka Si Pencipta itu sendiri yang meletakkan segala hukum-hakam alam semesta ini (Laws of the Universe) maka ilmu-ilmu tentang alam semesta sudah ada sejak terciptanya alam semesta ini dan terpulanglah kepada manusia tersebut untuk membuat penemuan hukum-hakam (ilmu) tersebut. Ilmu tentang alam semesta ini ada juga diperihalkan di dalam Quran sendiri, yang banyak memberikan fakta tentang kejadian-kejadian di dalam alam semesta ini, sebagaimana firman Allah:

Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? [Az-Zariyat: 20-21]

Ilmu yang berkenaan dengan alam semesta ini tidak diturunkan khas kepada para Nabi dan RasulNya, tetapi diberikan kepada sesiapa yang melakukan kajian tentang alam semesta ini. Contohnya walaupun di dalam Quran ada fakta tentang kejadian manusia, tetapi secara terperincinya tidak dibahaskan di dalam hadis Rasulullah (SAW). Terpulanglah kepada manusia untuk melakukan kajian terperinci.

Tetapi sebahagian besar ilmu tentang alam semesta ini tidak diceritakan di dalam Quran, seperti kandungan atom yang terdiri daripada tiga zarah asas iaitu proton, neutron dan elektron yang tidak diceritakan di dalam Quran. Atau kandungan sel darah manusia yang terdiri dari sel darah merah dan sel putih, dan fungsi sel putih ini menghasilkan antibodi yang melawan penyakit semuanya tidak diceritakan di dalam Quran. Atau kandungan cahaya matahari yang terdiri dari tujuh warna berbeza tidak diceritakan di dalam Quran.

Maka apabila manusia mengkaji alam semesta ini dan membuat banyak penemuan-penemuan, maka secara tidak langsung manusia sudah beroleh ilmu dan kefahaman tentang perkara yang dikajinya. Maka terbitlah ilmu-ilmu seperti Biologi, Fizik, Kimia, Matematik, Logik, Astronomi, Geografi, Geologi dan lain-lain yang berasal daripada pencerapan, pengajian manusia terhadap alam semesta ini. Ilmu yang terbit daripada kajian manusia terhadap alam semesta boleh jadi betul atau salah. Sebabnya sama ada ilmu atau kefahaman tentang fenomena alam itu betul atau salah adalah bergantung kepada sejauh mana manusia memahaminya. Pernah terjadi beberapa kali dalam sejarah bahawa kajian-kajian manusia tentang sesuatu fenomena alam kemudiannya dibuktikan tidak tepat dan salah oleh manusia lain. Contohnya adakah bumi berputar mengelilingi matahair atau sebaliknya, atau adakah bumi ini leper atau sfera. Masyarakat Eropah pada zaman gelap (zaman gereja berkuasa di dalam suatu kerajan teokratik) mempercayai bahawa matahari mengelilingi bumi, sementara bumi ini adalah leper dan bukan sfera. Kefahaman ini sudah lama dibuktikan salah.

Sistem pendidikan Islam
Sistem pendidikan Islam bukan sahaja bertujuan untuyk menghasilkan orang-orang yang berilmu pengetahuan, tetapi juga orang-orang yng mempunyai syaksiyyah Islam yang tinggi. Sistem pendidikan Islam zaman adanya Khilafah adalah sistem yang menyeluruh, terdapat pengajian ilmu wahyu (Quran dan Hadis) yang digabungkan dengan ilmu yang berkenaan dengan alam semesta seperti Biologi, Fizik, Kimia, Matematik dan lain-lain. Itulah sebabnya kebanyakan para ulama Islam dahulu-kala semasa zaman Khilafah adalah juga adalah orang-orang yang mempunyai ilmu mengenai alam semesta ini. Bila penjajah Eropah datang menjajahi tanah umat Islam, sistem pendidikan diubah memisahkan ilmu agama daripada ilmu Sains, oleh itu pelajar-pelajar yang di dalam aliran Sains langsung tidak mengetahui tentang ilmu agama dan juga sebaliknya. Malah setengah-tengah ulama tersilap mengatakan bahawa mempelajari ilmu berkenaan dengan Sains adalah haram hukumnya, atas alasan bahawa ianya adalah juga berasal daripada penjajah  Barat, sepertimana sistem sekular yang berasal daripada penjajah Eropah.

Di dalam sistem pendidikan secular, walaupun dipisahkan ilmu wahyu agama daripada ilmu alam semesta (seperti Fizik, Kimia, Biologi, Matematik, Geografi, Geologi), ini tidak menjadikan ilmu alam semesta turut menjadi sekular, disebabkan ilmu tidak dapat dikelaskan kepada sekular dan bukan sekular, di mana perbahasan atau pengelasan ilmu kepada ilmu wahyu (agama) dan ilmu alam semesta adalah tidak relevan. Di dalam kamus penjajah orang Eropah pun, mereka tidak membuatkan pengelasan tersebut, yakni mereka tidak mengelaskan ilmu kepada ilmu agama dan ilmu sekular.

Sistem pendidikan Daulah Islam (Khilafah) tidak juga membezakan ilmu kepada ilmu ilmu agama dan ilmu sekular. Tetapi di dalam sistem pendidikan negara Khilafah, kesemua ilmu diajarkan sebagai satu kesatuan ilmu. Juga ijtihad zaman moden ini memerlukan pemahaman mendalam tentang ilmu Biologi, Perubatan dan Kimia, kerana banyak masalah-masalah seperti derma organ, pengklonan (cloning) dan lain-lain permasalahan memerlukan ilmu atau kefahaman tentang bidang-bidang tersebut.

Beberapa ayat Quran dan Hadis tentang ilmu:

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu” [Az-Zumar: 9]

Firman Allah S.W.T maksudnya:
“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan bererti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”. (Al-Baqarah: 269)

Firman-Nya lagi maksudnya:
“Hanya sanya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu”.   (Al-Faatir:28)

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:
"Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (HR. Bukhari dan Muslim)

Firman Allah (SWT) bermaksud:
"Wahai rasul, sampaikanlah apa-apa yang diturunkan kepada kamu dari Rabb kamu. Dan jika kamu tidak mengerjakannya maka tidaklah kamu menyampaikan risalahNya. Allah memelihara kamu daripada manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir". (Al-Maidah:67)

Nabi diutus ke dunia inipun dengan tugas mengajar, sebagaimana sabdanya;
" Aku diutus ini, untuk menjadi pengajar." (HR.Baihaqi)


Adalah haram hukumnya sesiapa yang menyembunyikan ilmu pengetahuan, sebagaimana sabda Nabi S.A.W.

"Barangsiapa ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian menyembunyikan (tidak mahu memberikan jawapannya), maka Allah akan mengekangkan (mulutnya), kelak di hari kiamat dengan kekangan (kendali) dari api neraka." (HR Ahmad)

Wa Allahu A’lam.